GLC Ditagih Tambah Baik Zoo Kemaman

KEMAMAN, 6 November - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu diharap dapat membantu memajukan Zoo Kemaman dengan menambah haiwan yang berpotensi menjadi daya tarikan untuk meningkatkan jumlah pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihak zoo telah diminta mengenalpasti haiwan yang diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya kanak-kanak, belia dan pelajar-pelajar.

"Saya mengharapkan seluruh GLC dalam negeri Terengganu ini memberikan bantuan ataupun sumbangan dengan membeli haiwan yang masih tidak ada untuk ditempatkan di Zoo Kemaman ini.

"Insya-Allah saya akan terus berbincang dengan anak syarikat yang bersar di negeri Terengganu ini bagi memastikan hasrat ini tercapai agar ia setanding dengan zoo di Melaka dan Taiping (Perak)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, dalam memulakan lawatannya kerjanya ke setiap daerah di negeri ini, di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Razali berkata dengan apa yang telah sedia ada di lokasi ini ia juga mampu dijadikan 'Night Zoo' untuk menjadi daya tarikan unik yang boleh dinikmati pengunjung.

"Dengan menyediakan pengalaman untuk melihat hidupan yang jarang atau tidak ada di tempat lain iaitu kunang-kunang yang mana ia perlu menaiki bot atau 'river cruise'," ujarnya lagi.

Dalam pada itu katanya, mengenai banjir luar jangka yang berlaku pada tahun lalu, perkara itu dianggap sebagai perkara yang jarang berlaku.

"Jadi dalam lawatan ini kita telah melihat saliran dan mengenal pasti beberapa langkah bagi mengatasi masalah bila berlaknya banjir, untuk itu kita akan angkat peruntukan dari kerajaan pusat dan dalam masa terdekat akan berjumpa Menteri Pelancongan.

"Antara isu yang akan kita bawa ialah mengenai sistem perparitan,beberapa infrastruktur lagi untuk menceriakan lagi. 

"Bagi memperhebatkan promosi pula kita akan bincang untuk menggunakan kaedah silang zoo, antara zoo Terengganu yang baru hendak meningkat ini dengan zoo lain yang ada dalam negara," katanya.