Menjaga Maslahat Umum Lebih Utama Berbanding Perasaan Malu Pesalah
Golden Pharos Bantu Pendidikan Orang Asli Terengganu
KEMAMAN, 19 Disember - Usaha Golden Pharos Berhad (GPB) melalui dua anak syarikatnya, Kumpulan Perusahaan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) dan PESAMA Timber Corporation yang tampil menyumbang barangan keperluan sekolah kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam, mampu memacu potensi pelajar-pelajar warga orang Asli dalam pembelajaran.
Penolong pegawai pendidikan daerah Kemaman, Ahmad Azli Ismail@Abdul Aziz berkata, penglibatan agensi membantu proses pendidikan terutama komuniti orang Asli membantu memupuk minat mereka untuk belajar.
"Kadang-kadang tarikan utama mereka (pelajar) untuk hadir ke sekolah disebabkan minat dan apa tarikan yang ada di sana.
"Mereka ini kalau kita lihat latar belakang ada dikalangan orang susah dari segi pendapatan dan tak mampu melengkapkan diri ke sekolah, jadi apabila ada bantuan sebegini kami sangat bersyukur.
"Dengan kemudahan sebegini, insya-Allah akan sampailah mereka ke sekolah dan ada harapan untuk berjaya," katanya ketika ditemui selepas program Sehari Bersama Pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam di dewan serbaguna kampung berkenaan, semalam.
Dalam program tersebut, GPB menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 dalam bentuk set pakaian sukan dan kasut sukan untuk semua pelajar SK Sungai Pergam.
Sumbangan yang disampaikan Pengerusi GPB, Dato' Yahaya Ali itu turut disertai dengan memorandum persefahaman (MOU) antara KPKKT dan PESAMA bersama SK Sungai Pergam.
Majlis menandatangani memorandum disempurnakan Eksekutif Kanan Operasi PESAMA yang mewakili Pengurus Besar PESAMA, Sani Yusof dan Timbalan Pengurus Besar KPKKT, Ahmad Bazli Razali.
Manakala, SK Sungai Pergam diwakili guru besar, Mohd Shafii A Bakar.
Dato' Yahaya dalam pada itu berharap, usahasama itu akan menjana lebih banyak program diantara kedua-dua pihak.
"Memorandum ini sebagai satu tanda kita mengadakan jalinan dengan pihak sekolah sebagai permulaan.
"Apabila ada MOU sebegini, kita boleh merancang program-program pada masa akan datang dalam pelbagai bentuk lain, sebagaimana yang dibuat dalam sumbangan banjir baru-baru ini," katanya.