Guru SMK Tengku Mizan Wakil Negara Ke ILEP, Amerika Syarikat
Siti Sarah (tengah) bersama dua lain yang terpilih mewakili Malaysia ke program The International leaders Educations (ILEP) di Amerika Syarikat selama satu semester bermula Januari ini. |
Seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, terpilih bersama dua guru lain mewakili negara menyertai program latihan guru `The International Leaders Educations (ILEP) ' di James Madison University, Virginia, Amerika Syarikat selama satu semester bermula Januari ini.
Siti Sarah Rusof , 29, guru bahasa Inggeris dan Pendidikan Muzik terpilih menyertai program Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi tajaan Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Kebudayaan Jabatan Negara Amerika Syarikat bagi memberi pendedahan kepada guru sekolah menengah mengenai kaedah mengajar sesuatu subjek dengan lebih berkesan, selain melihat kaedah pengajaran guru di Amerika Syarikat.
Turut serta bersama Sarah dalam program latihan lima bulan itu, dua guru lain, iaitu Adelyn Chin dari Papar, Sabah dan Yvonne Ling Soon Chiin dari Betong, Sarawak.
Siti Sarah berkata, dia begitu teruja dapat mewakili negara ke program itu dan akan menggalas cabaran berkenaan sebaik mungkin serta mengasah pengalaman menerusi perkongsian ilmu serta kaedah pengajaran di peringkat antarabangsa untuk diaplikasikan ke negara sendiri sebaik tamat pengajian itu nanti.
Program itu merangkumi cara menyampaikan metodologi pembelajaran, perancangan pembelajaran dan pemudah cara, strategi pembelajaran, kepimpinan guru, penggunaan komputer, strategi pembelajaran, kepimpinan guru, penggunaan komputer dan internet untuk pendidikan serta teknologi sebagai alatan mengajar.
“Saya berharap dapat mendalami ilmu, kemahiran dan pengalaman pendidikan berintegrasikan teknologi untuk membina suasana pembelajaran kelas yang dapat menggalakkan pelajar terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung dan aktif.
“Dalam dunia yang semakin maju dari aspek teknologi ini, saya akan berusaha mempersiapkan siri belajar menguasai kemahiran terbaru berkaitan teknologi yang sentiasa berubah-ubah seiring dengan zaman sekarang bagi memaksimakan pengalaman pembelajaran pelajar,”katanya kepada Teganukita.net.
Bekas pelajar SMK Tengku Mizan dan Universiti Macquarie, Australia itu, juga berhasrat untuk memanfaatkan masa sepanjang di Amerika Syarikat untuk meneroka kepelbagaian budaya dan kehidupan di negara asing secara perspektif global.
Tambahnya, sebaik tamat program itu, beliau akan berkongsi pengalaman dan juga ilmu yang diperolehinya dengan semua warga pendidik melalui pelbagai saluran atas talian dan juga di luar talian.
“Saya juga bersedia untuk menjadi agen perubahan dalam dunia pendidikan, sekali gus berupaya mencapai misi sebagai peneraju transformasi generasi bestari melalui pendidikan berkualiti serta visi untuk membudayakan teknologi dalam pendidikan,”katanya yang memohon menyertai program itu sejak Mac lalu.