Hakim Danish Menang Dua Perlumbaan Di Itali

KUALA TERENGGANU, 6 September – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berjaya menempa nama di liga kejuaraan antarabangsa menerusi kejayaannya dalam Kejuaraan Ohvale Coppa Italia, baru-baru ini.

Anak muda daripada Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu muncul juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior dalam aksi di Litar Pomposa, Itali.

Hakim turut memecahkan rekod peribadi selepas melakukan rekod pusingan baru dengan catatan 1:01.270 s dalam perlumbaan pertama mengalahkan Thomas Bonomi daripada pasukan CMV, manakala tempat ketiga menjadi milik Davide Ferrazi (Dolomiti Corse).

Dalam perlumbaan kedua dengan 12 pusingan sama seperti saingan pertama menyaksikan Hakim Danish bangkit dari ketinggalan pada aksi awal untuk menumpaskan Ferrazi, manakala tempat ketiga diraih Lorenzo La Sorsa daripada Settimotoa.

"Perasaan saya sungguh gembira dapat berlumba dalam saingan Coppa Italia kerana di sini saya berpeluang untuk menimba pengalaman berharga yang sangat penting dalam karier saya.

"Saya juga gembira dapat bergaul dengan pelumba Itali yang bagi saya mereka sangat baik walaupun pertama kali bertemu. Saya gembira berkawan dengan mereka," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Terdahulu, penyertaan sulungnya di European Talent Cup (ETC) disertainya di Litar Catalunya, Jun lalu, anak muda itu turut mampu bersaing di pentas saingan yang dianggap tiga kali ganda lebih sukar berbanding Asia Talent Cup (ATC)

Dalam pada itu, penunggang berusia 14 tahun itu menetapkan sasaran tinggi pada ATC di Jepun pada bulan hadapan setelah penampilan sulungnya dalam pertandingan sama meraih dua penamat di tempat ketiga pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

Kredit Foto : Facebook SIC