Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Rekod 30,390 Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 26 Jun – Lebih 30 ribu pengunjung direkodkan dengan hasil jualan berjumlah RM629,428 sepanjang tiga hari penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu 2022 (HPPNT2022).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, angka pengunjung yang hadir bahkan boleh melebihi yang direkodkan.

“Kehadiran pengunjung boleh melebihi rekod kerana terdapat ramai pengunjung yang memasuki tapak HPPNT2022 menggunakan akses selain daripada laluan utama.

“Hasil jualan juga mencatatkan nilai yang besar melalui jualan industri makanan berjumlah RM588,947 serta agensi swasta bernilai RM40,511," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi merakamkan penghargaan buat semua warga pertanian, petugas serta para pengunjung yang memeriahkan program mega tersebut.

‘Mek Suria’, gajah denak yang dibawa Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menjadi salah satu tarikan utama pengunjung ke HPPNT2022 selain rangka ikan paus sepanjang 42 kaki yang berlangsung di Dataran Jabi.