Hebatnya, Ikan Singgang Mampu Jadi Penawar Covid-19?





Ikan singgang merupakan satu sajian yang sangat popular di Terengganu. Selain rasanya yang sedap ia juga enak dimakan bersama nasi panas ditambah pula budu dan ulam ulaman. Memang menambahkan lagi selera makan ketika menikmati juadah ini.
                                                                                                                                       
Namun tular sejak semalam, ia dikatakan mampu melawan penyakit bawaan virus dan mungkin penawar kepada wabak Covid-19 kerana ikan singgang mempunyai khasiatnya yang tersendiri melalui bahan-bahan penyediaan yang semulajadi.

Dr Azizah Mahmood

Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Azizah Mahmood berkata ikan singgang berpotensi untuk merawat penyakit Covid-19 kerana mengandungi pelbagai ramuan dan bahan yang mampu untuk menghapuskan mikrob.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya berhubung menu ikan singgang kononnya mampu merawat Covid-19 yang tular di media sosial dan menjadi bualan hangat di kalangan netizen.

Azizah berkata, banyak pihak yang menghubunginya untuk mengesahkan mengenai kenyataan yang dibuat itu.

“UMT tidak pernah menjalankan apa-apa kajian berkaitan ikan singgang serta Covid-19 itu, dan tidak mengesahkan menu itu mujarab untuk merawat penyakit berkenaan.

“Bagaimanapun, berdasarkan banyak kajian yang dijalankan ke atas bahan-bahan yang ada dalam menu tradisional itu, ia berkemungkinan berpotensi untuk merawat.

“Lengkuas, kunyit, halia dan bawang putih dalam menu ikan singgang mampu memusnahkan mikrob dan ia diakui melalui kajian yang dijalankan oleh banyak pihak sebelum ini,” katanya.

Antara bahan-bahan penyediaan ikan singgang iaitu lengkuas, bawang putih, kunyit, ketumbar, lada jarum, asam keping dan ikan

Katanya, pihaknya tidak dapat mengesahkan ikan singgang mujarab untuk Covid-19 sehingga kajian klinikal ke atas manusia dijalankan secara menyeluruh dan data dikumpul secara sistematik.

“Bukan senang sebenarnya untuk mengesahkan menu ikan singgang itu mujarab kerana hanya melalui kajian tertentu sahaja dapat mengesahkannya.

“Oleh itu saya harap orang ramai jangan keliru dengan kenyataan saya itu kerana ujian klinikal tidak pernah dijalankan ke atas menu ikan singgang dan Covid-19.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tentu menetapkan prosedur sewajarnya untuk memusnahkan virus berkenaan dan kajian tidak boleh dijalankan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Katanya, ikan singgang diakui menu yang menyihatkan kerana tanpa santan dan minyak serta wajar dimakan untuk amalan kesihatan.


Sumber Oleh : Harian Metro

Tag: