KUALA NERUS, 8 Februari - Kehangatan Himpunan Daie Nusantara di Dataran Drawbridge hari ini terserlah apabila lebih 2,000 anak muda dari seluruh Terengganu tiba di lokasi dengan bermotosikal.
Acara yang bermula pada pukul 6.30 petang itu diketuai oleh Alternative Riding Club (ARC) sebagai simbolik anak muda cintakan majlis ilmu.
Konvoi sejauh enam kilometer melalui beberapa lokasi bermula di Kompleks Sukan Gong Badak, merentasi Pantai Seberang Takir kemudian bergerak ke tapak program.
Majlis akan bermula dengan pengisian daripada pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus pada petang ini.
Kemudian disusuli dengan perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah sejurus selepas solat Isyak.
Daie Nusantara, Ustaz Abdul Somad pula dijangka akan menyampaikan pengisian pada pukul 9.30 malam.