SETIU, 24 Julai – Hospital Setiu menjadi pusat perubatan awam pertama di Terengganu yang melaksanakan tanaman bandar dengan tanaman sayur-sayuran.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, projek demikian selari dengan hasrat mewujudkan hospital hijau di negeri ini.
“Projek tanaman bandar di Hospital Setiu menjadi projek perintis kerjasama antara JKNT dan Jabatan Pertanian Negeri sebagai hospital hijau sempena Kempen Bumi Hijau yang digazetkan Perdana Menteri September lalu.
“Beberapa jenis tanaman yang ditanam secara hidroponik dilengkapi sistem fertigasi sumbangan Jabatan Pertanian Daerah Setiu dengan kos sekitar RM20,000,” katanya dalam sidang media Program Tanaman Bandar antara Pejabat Pertanian dan Hospital Setiu di Pekarangan Kuarters Hospital Setiu, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof dan Pengarah Hospital Setiu, Dr Wan Mohd Shihabudin Wan Mamat.
Tanaman seperti terung, sawi dan kacang bendi diusahakan oleh kakitangan kesihatan hospital berkenaan dan hasil pertanian tersebut disumbangkan kepada warga kerja mereka.
Mengulas berkenaan kadar penggunaan katil, Kasemani memaklumkan bahawa hospital masih mampu menampung keperluan.
Sehingga kini katanya, sebanyak 90 peratus daripada 1,773 katil di hospital seluruh Terengganu yang digunakan adalah daripada penyakit biasa (tidak berjangkit), Covid serta atau jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).