Hospital UniSZA Peringkat Akhir Putuskan Bentuk


Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang sedang dalam peringkat akhir untuk menentukan corak dan bentuk, akan menjadi sebuah hospital yang selesa untuk pesakit apabila siap kelak.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dato' Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, pihaknya mendapat kebenaran merancang daripada kerajaan negeri dan antaranya adalah mengadakan bilik khas bagi menempatkan pesakit di hospital berkenaan.
"Hospital Pengajar UniSZA ini akan mempunyai ciri-ciri antarabangsa dan Insya- Allah hospital ini bukan seperti hospital berbentuk 'warehouse' tetapi disediakan bilik untuk setiap pesakit.
"Ia adalah sebuah hospital awam tetapi setiap pesakit ada bilik masing-masing," katanya kepada wartawan ketika merasmikan program anak angkat di Kampung Seri Kenangan, Setiu, kelmarin.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan sebenar akan dibuat di kawasan tersebut selepas siap proses pemasangan cerucuk.
Tambahnya, pihaknya sudah membuat persediaan pengurusan sebanyak 90 peratus dan akan mematuhi perancangan asal untuk memastikan hospital ini siap sepenuhnya pada akhir 2019.

Menurutnya, ketika ini, pihak UniSZA masih menempatkan penuntutnya bagi menjalani praktikal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

"Begitu juga dengan kakitangan, kami ada 40 pakar yang masih berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan dan Pusat Perubatan UniSZA Holding di Kampus Gong Badak.

Tag: