KEMAMAN, 26 Mac – Majlis Iftar Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal mencatat kehadiran hampir 3,000 orang apabila diadakan secara berperingkat di empat zon berbeza.
Pengarah program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar, berkata penganjuran di empat lokasi utama bertujuan memastikan keselesaan dan penyertaan lebih meluas dalam kalangan penduduk.
“Iftar Perdana bermula di Masjid Titian Berayun dengan kehadiran sekitar 700 orang, diikuti Masjid Kampung Ibok yang mencatat jumlah tertinggi seramai 900 orang.
"Seterusnya, Masjid Bukit Kuang menerima 700 orang, manakala Masjid Seri Bandi merekodkan 500 orang yang turut serta dalam majlis berbuka puasa ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Perdana bertempat di Masjid Seri Bandi semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan program yang bukan sahaja mengeratkan hubungan penduduk, tetapi juga menyemarakkan semangat perpaduan.
“Alhamdulillah, kita telah menyempurnakan Iftar Perdana di keempat-empat zon seperti dirancang.
"Sambutan yang diterima amat menggalakkan, membuktikan semangat kasih sayang dan perpaduan dalam masyarakat Kijal masih utuh.
"Insya-Allah, kita akan meneruskan penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang," katanya.