KUALA NERUS, 13 Januari - Seramai 100 anak Batu Rakit menerima bantuan persekolahan yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu dan (NGO) Iman Care.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata , beliau berharap agar program seperti itu akan diteruskan pada tahun akan datang untuk membantu persediaan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan ke sekolah dengan baik.
“Program ini merupakan inisiatif kerajaan negeri dan (NGO) Iman Care dalam membantu meringankan beban ibu bapa di samping memberi sokongan serta suntikan semangat kepada anak-anak dalam membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan pada tahun hadapan 2026.
“Sumbangan berupa bag dan alatan tulis ini memberi tumpuan kepada anak-anak yatim, kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan anak-anak daripada kumpulan B40 sebanyak terhad 100 orang, dua orang sahaja di setiap kampung.
“Diharapkan sumbangan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dan membantu mengurangkan beban ibu bapa serta menjadi pemangkin kepada kejayaan anak-anak.
“Semoga usaha berterusan ini terus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, sekali gus melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan cemerlang pada masa hadapan,” ujarnya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Bantuan Back to School, di sini baru-baru ini.
Mohd Shafizi juga berharap agar sumbangan tersebut dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah untuk menyediakan keperluan sekolah terutama yang mempunyai anak bersekolah yang ramai.