lightning-solid
Berita :
'Suasana Klasik' Dataran Shahbandar Tarik 10,000 Pengunjung
'Suasana Klasik' Dataran Shahbandar Tarik 10,000 Pengunjung
Adli Mohamad
12 jam yang lepas
2288

KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Program Festival Terengganu Klasik berjaya menggamit memori dengan kehadiran lebih 10,000 peminat kenderaan klasik sekitar tahun 60-an yang berlangsung di Taman Shahbandar, di sini. 

Pengerusi Jawatankuasa, Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, bukan setakat dipenuhi kenderaan klasik tetapi pengunjung yang hadir turut bergaya dengan busana lama.

"Program seperti ini dia ada kelompok peminatnya yang tersendiri, jadi saya ucap terima kasihlah kepada penganjur, saya minta penganjur berusaha lagi baru masuk tahun kedua.

"Dengan menambah baik program seumpama ini akan berupaya membawa masuk pelancong dari Singapura, Thailand dan beberapa negara lagi pada masa akan datang,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program berkenaan, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan sangat menyokong program seumpama itu kerana memberi impak yang sangat baik dan memiliki tarikannya yang tersendiri.

"Kita harap konsep seumpama ini dikekalkan oleh penganjur, saya akan berbincang bagaimana untuk memastikan ia akan nampak lebih bernilai dan berbeza dari penganjuran program lain seperti Bike Week, RXZ Member.

"Saya juga berpesan kepada penganjur supaya bersabar bagi meneruskannya kerana sebelum ini tidak ada lagi negeri yang buat program seumpama ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja walaupun saya dengar perbelanjaanya agak besar, tetapi kena bersabar dan diteruskan pada masa akan datang untuk menarik lebih ramai pengunjung terutama daripada kalangan mereka yang berjiwa klasik," ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan