lightning-solid
Berita :
LPT2 Belum Selesai, LPT3 Pula Berdepan Risiko Sama
LPT2 Belum Selesai, LPT3 Pula Berdepan Risiko Sama
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
24

KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Polemik pembiayaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang berlarutan lebih sedekad dikhuatiri berulang dalam pelaksanaan LPT3 sekiranya struktur pembiayaan projek itu tidak ditetapkan secara jelas dan adil sejak awal.

Penyelidik Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Shafiyah Iqlima Mohd Nadzri berkata, LPT2 bukan sahaja mengalami kelewatan, malah kos pembinaannya meningkat daripada anggaran awal RM2.09 bilion kepada RM4.25 bilion.

Menurutnya, sembilan daripada 16 pakej pembinaan terpaksa ditamatkan dan ditender semula selepas kontraktor gagal menyiapkan kerja mengikut jadual.

“Projek yang dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun setengah, iaitu dari September 2006 hingga Mac 2009, hanya dapat digunakan sepenuhnya pada akhir 2014.

“Ini menunjukkan kelewatan tersebut bukan semata-mata berpunca daripada masalah pembiayaan, tetapi turut melibatkan kelemahan pada peringkat perancangan dan tadbir urus,” katanya dalam satu analisis berkaitan LPT2 dan LPT3.

Shafiyah berkata, Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan beberapa keputusan penting berkaitan LPT2 hanya dibuat selepas pembinaan bermula.

Antaranya jelas beliau, keputusan menjadikan LPT2 sebagai lebuh raya bertol hanya dibuat pada 2008, ketika projek berkenaan sedang dilaksanakan.

“Keputusan itu menyebabkan tujuh plaza tol, dua kawasan Rehat dan Rawat (R&R), sebuah hentian sebelah serta sistem kutipan tol dan kawalan trafik perlu dibina,” ujarnya.

Menurutnya, perubahan berkenaan meningkatkan kos projek sebanyak RM662.3 juta, meskipun model konsesi, kadar tol dan kaedah pengagihan hasil ketika itu masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, Kerajaan Terengganu pada ketika itu bersetuju mendahulukan RM1.85 bilion daripada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (royalti petroleum) bagi mempercepatkan pembinaan lebuh raya tersebut.

“Bagaimanapun, selepas projek disiapkan, timbul pertikaian berhubung baki RM1.43 bilion yang dituntut kerajaan negeri daripada Kerajaan Persekutuan.

“Isu itu kembali mendapat perhatian susulan jawapan bertulis Dewan Rakyat bertarikh 6 Julai lalu yang menyatakan tuntutan berkenaan 'tidak berbangkit',” ujarnya.

Shafiyah berpandangan penggunaan Dana Khas oleh kerajaan negeri tidak mengubah kedudukan LPT2 sebagai projek di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dana berkenaan didahulukan bagi mempercepatkan pembinaan dan bukan bermaksud tanggungjawab membiayai projek itu dipindahkan kepada kerajaan negeri.

Beliau turut membandingkan kaedah tersebut dengan projek lebuh raya Persekutuan di negeri lain seperti Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Barat yang tidak memerlukan kerajaan negeri mendahulukan dana pembangunan masing-masing.

Menurutnya, sebahagian pembayaran balik sebelum ini dibuat dalam bentuk projek atau in kind, termasuk kerja menaik taraf Jalan Persekutuan Awana-Kijal.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan negeri berpandangan projek menaik taraf jalan Persekutuan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad kerana ia sememangnya berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Mengulas mengenai LPT3, Shafiyah berkata pendirian Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek tersebut melalui penswastaan penuh perlu dinilai semula.

Katanya, LPT3 yang dianggarkan bernilai RM9.8 bilion bakal memberi manfaat kepada lebih 3.1 juta penduduk Terengganu dan Kelantan serta melengkapkan jaringan lebuh raya di Pantai Timur.

Beliau membandingkannya dengan komitmen pembiayaan hampir RM17 bilion bagi projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang melalui MRT Corp, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

“Penswastaan penuh berpotensi memindahkan beban pembangunan kepada rakyat menerusi kadar tol yang lebih tinggi.

“Kerajaan Persekutuan sewajarnya mempertimbangkan pembiayaan penuh atau sekurang-kurangnya menggunakan model Kerjasama Awam-Swasta bagi mengimbangi kepentingan kerajaan, pelabur dan pengguna,” katanya.

Shafiyah berkata, keputusan berkaitan projek strategik Persekutuan perlu dibuat berdasarkan keperluan rakyat dan tanggungjawab perlembagaan, tanpa dipengaruhi perbezaan politik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, kegagalan menyelesaikan tuntutan berkaitan LPT2, ditambah ketidaktentuan model pembiayaan LPT3, hanya akan memanjangkan polemik hubungan kewangan antara kedua-dua kerajaan.

“Jika perkara ini terus dibiarkan, rakyat Pantai Timur sekali lagi akan menjadi pihak yang menanggung akibatnya,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan