lightning-solid
Berita :
Jalur Gemilang Lambang Penyatuan Rakyat
Jalur Gemilang Lambang Penyatuan Rakyat
Noraini Jusoh
14 jam yang lepas
160

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan atau simbolik semata-mata, sebaliknya menjadi medan untuk menyemai semangat patriotisme dalam jiwa setiap rakyat.

Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, rakyat negeri ini khususnya diseru terus menghargai sejarah perjuangan kemerdekaan serta memelihara warisan tersebut dengan memperkukuh jati diri, semangat cintakan negara dan kesediaan menyumbang kepada pembangunan negeri serta tanah air.

Menurutnya, kemerdekaan yang dikecapi hari ini bukanlah nikmat yang hadir sekelip mata, sebaliknya lahir daripada semangat pejuang terdahulu yang melalui pelbagai cabaran dan pengorbanan sehingga akhirnya negara berjaya mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.

“Setelah 69 tahun menikmati nikmat kemerdekaan, menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk terus mengingati sejarah perjuangan tersebut.

“Bangsa yang menghargai sejarah akan lebih memahami nilai sebuah kemerdekaan, manakala bangsa yang melupakan sejarah berisiko mengulangi kesilapan yang pernah dilalui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Tahun 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan kemajuan, kemakmuran dan hasil pembangunan negara dapat dinikmati secara adil, saksama serta inklusif oleh seluruh rakyat.

Mohd Nor berkata, kesejahteraan tidak hanya diukur melalui pencapaian ekonomi, malah turut diterjemahkan menerusi peningkatan kualiti hidup, peluang yang lebih saksama serta pengagihan manfaat pembangunan secara menyeluruh.
“Dalam mendepani persaingan ekonomi yang semakin sengit, ketidaktentuan ekonomi, kepesatan teknologi serta lambakan maklumat tanpa sempadan, cabaran ini akan mampu ditempuhi selagi rakyat terus bersatu padu.

“Semangat cinta negara perlu terus diperkukuh agar perbezaan yang wujud tidak mampu memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing bermula hari ini sehingga 16 September depan sebagai tanda kecintaan, kesetiaan dan kebanggaan terhadap tanah air.
Menurutnya, inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang juga perlu dipergiatkan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menjadikan kibaran Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan dan perpaduan negara.

“Jalur Gemilang hendaklah terus diperkasakan sebagai lambang penyatuan, perpaduan dan kedaulatan negara yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa program berteraskan semangat patriotisme, kenegaraan dan penghayatan nilai kemerdekaan perlu terus dipergiatkan di semua peringkat, termasuk negeri, daerah dan komuniti.

Katanya, usaha itu penting dalam membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri kukuh serta bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.
Tambah beliau, dalam konteks sejarah Terengganu, semangat perjuangan tokoh seperti Tok Ku Paloh dan Haji Abdul Rahman Limbong wajar terus dijadikan pedoman dalam membentuk masyarakat berilmu, berakhlak, bersatu padu dan cintakan tanah air.

“Semangat perjuangan yang diwariskan oleh tokoh-tokoh terdahulu perlu terus dihayati agar semangat patriotisme, perpaduan dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara sentiasa subur dalam jiwa setiap rakyat.

“Cinta kepada negara bukan sekadar dilafazkan ketika Bulan Kebangsaan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui perpaduan, integriti, sikap saling menghormati serta kesediaan untuk bersama-sama menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan