Berita :
150 Penggemar Rekreasi Lasak Sertai Ekspedisi Rainforest Terengganu
150 Penggemar Rekreasi Lasak Sertai Ekspedisi Rainforest Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
18 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Hampir 150 penggemar rekreasi lasak dari seluruh negara memeriahkan Program Ekspedisi Rainforest Terengganu: Eco-Adventure 2026 yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 18 sehingga 20 Jun lalu.

Menurut Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4x4), program tersebut, dengan kerjasama Kelab Terjoh 4x4 Kuala Terengganu dan Tembo Sek 4x4 itu menghimpunkan hampir 100 buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) serta 50 peserta Cub Cross yang mewakili pelbagai kelab dan komuniti rekreasi lasak dari seluruh negara.

Antara kelab rekreasi lasak lain yang turut mengambil bahagian ialah TFT 4x4, Belantara 4x4 Adventure Club, Qober 4x4, Setiu Autopart, Umbrella Hill dan Tembo Sek Kita 4x4.

"Program anjuran Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4x4) dengan kerjasama Kelab Terjoh 4x4 Kuala Terengganu dan Tembo Sek 4x4 serta sokongan daripada Tourism Malaysia merupakan salah satu projek perintis (pilot project) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan sebagai persediaan awal ke arah Tahun Melawat Terengganu 2027," kata UT 4x4 dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu lagi, laluan yang dipilih merangkumi jalan ladang, denai berbukit, sungai dan kawasan pedalaman yang menawarkan pengalaman pengembaraan sebenar kepada peserta.

"Peserta menempuh laluan sejauh kira-kira 120 kilometer yang merentasi kawasan Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Setiu. Laluan tersebut melalui jalan ladang, denai berbukit, sungai dan kawasan pedalaman yang menawarkan pengalaman pengembaraan sebenar kepada para peserta sambil menikmati panorama alam semula jadi yang memukau," ujar kenyataan itu.

Selain menguji ketahanan peserta dan jentera, ekspedisi tersebut turut memberi peluang kepada peserta meneroka pelbagai lokasi pelancongan tersembunyi yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan negeri.

Sebahagian peserta turut menyertai aktiviti mendaki ke kawasan Ulu Kasar bagi melawat Santuari Ikan Kelah Ulu Kasar yang terkenal dengan habitat semula jadi ikan kelah, selain menikmati keindahan air terjun dan sungai di kawasan pedalaman.

Sebagai acara kemuncak, penganjur turut menganjurkan Cabaran 4x4 Rainforest Terengganu 2026 yang menguji kemahiran pemanduan, kecekapan navigasi dan ketahanan jentera dalam mengharungi pelbagai halangan.

"Pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM5,000, sekali gus menambahkan kemeriahan program dan menarik perhatian peminat sukan permotoran lasak," menurut kenyataan itu lagi.

Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negrri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terenggangu, Dato' Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman dan timbalannya, Raja Faisal Raja Haron.

UT 4x4 berhasrat agar program berkenaan dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang menghimpunkan komuniti rekreasi lasak dari seluruh negara, selain memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi utama eko-pelancongan dan pengembaraan negara.


Ketupat

Artikel Berkaitan