Jalur Gemilang
Berita :
IPU Kuala Terengganu Paling Tinggi, Cecah 164
IPU Kuala Terengganu Paling Tinggi, Cecah 164
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
198

KUALA TERENGGANU, 16 September -  Kuala Terengganu mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Terengganu dengan 164, menjadikan kawasan itu antara yang terjejas teruk akibat jerebu berdasarkan bacaan terakhir yang tersedia hari ini.

Bacaan tersebut berada dalam kategori tidak sihat, mengatasi Kemaman yang merekodkan 156 dan Paka (154), manakala Besut mencatat bacaan 94 pada tahap sederhana.

Keadaan jerebu itu turut melibatkan kawasan sekitar apabila bacaan Kuala Nerus dan Marang dirujuk kepada stesen pemantauan Kuala Terengganu, manakala Dungun dirujuk kepada stesen Paka.

Bacaan IPU 164 bermakna penduduk di Kuala Terengganu dan kawasan berhampiran dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya golongan berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar sepanjang keadaan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Orang ramai yang mengalami simptom berkaitan pernafasan turut dinasihatkan mendapatkan rawatan sekiranya keadaan berterusan atau bertambah serius.

JAS turut mengingatkan bahawa bacaan IPU berubah dari semasa ke semasa dan orang ramai disaran menyemak kemas kini APIMS bagi mendapatkan bacaan terkini.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan