Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Tanggung Hingga RM7 juta Bina Loji Kumbahan Sementara di Redang
Terengganu Tanggung Hingga RM7 juta Bina Loji Kumbahan Sementara di Redang
Ahmad Zaeem Zainudin
39 minit yang lepas
52

KUALA NERUS, 7 Oktober - Kerajaan Terengganu akan menanggung kos antara RM5 juta hingga RM7 juta bagi membina loji rawatan sementara (TTP) untuk menangani masalah kumbahan di tujuh resort di Pasir Panjang, Pulau Redang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, kerja awal projek itu disasarkan bermula tahun ini, dengan tempoh penyiapan antara enam hingga 10 bulan.

“Dalam perbincangan kita dalam mesyuarat Exco, kita bersetuju untuk menanggung kos fasa pertama.

“Fasa pertama bermaksud kita guna pakai dipanggil TTP (Temporary Treatment Plant) dan kos lebih kurang dalam RM5 hingga RM7 juta.

“Kita akan cuba kick off pada tahun ini juga proses untuk penyiapan TTP yang akan mengambil masa dalam enam bulan hingga 10 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke Pulau Redang semalam.

Razali berkata, kerajaan negeri menyasarkan masalah kumbahan di tujuh resort terbabit dapat diselesaikan tahun depan melalui kemudahan itu.

Menurutnya, loji sementara tersebut akan digunakan sementara menunggu sistem pembetungan fasa kedua dibangunkan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menampung kira-kira 30 resort di seluruh pulau berkenaan.

Fasa kedua itu dianggarkan menelan kos antara RM50 juta hingga RM60 juta dan akan dilaksanakan dengan penglibatan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Indah Water Konsortium (IWK).

Razali menjelaskan, loji sementara berkenaan hanya akan dirobohkan apabila sistem fasa kedua mula digunakan, bukannya ketika kerja pembinaannya bermula.

“TTP ini bermaksud ‘temporary treatment plant’, maknanya pelan sementara sehingga siapnya yang fasa kedua.

“Dan mestilah pelan sementara ini akan dirobohkan apabila fasa kedua berjalan.

“Bukan berjalan untuk menggerakkan pembinaan tetapi berjalan untuk digunakan,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan mengadakan memorandum persefahaman atau perjanjian dengan tujuh pengusaha resort terbabit bagi memastikan mereka menggunakan sistem TTP itu.

Menurut Razali, pengusaha akan diwajibkan menyambungkan paip kumbahan resort masing-masing kepada sistem tersebut, selain membayar caj perkhidmatan kepada LAUT.

“Dia akan wajib ‘tapping’ dan mereka perlu bayar, dia kena bayar servis dan dia kena sambungkan juga dia punya paip itu ke hotel masing-masing,” katanya.

Mengulas kos projek, Razali berkata, anggaran awal antara RM5 juta hingga RM10 juta dibuat ketika kerangka harga belum tersedia.

Penglibatan LAUT dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam penyediaan anggaran kos, katanya, membolehkan jumlah itu diperincikan kepada tidak melebihi RM7 juta.

“Pada peringkat awal saya kata RM5 hingga RM10 juta, masa itu kita belum ada kerangka harga.

“Tapi apabila proses ini sudah berjalan, LAUT sudah main peranan, UPEN pun sudah main peranan, maka kita dapatlah satu angka anggaran yang agak tepat.

“Jadi tak sampai tujuh, tak lebih daripada tujuh, dalam lingkungan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata, aspek teknikal TTP akan diteliti secara sistematik dengan penglibatan perunding daripada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan IWK.

Menurutnya, perunding akan membentangkan cadangan projek kepada MMKN sebelum pelaksanaan bagi memastikan ia memenuhi keperluan yang ditetapkan.

“Ini memang kita buat secara sistematik dan profesional, sebelum projek dilaksanakan kita minta konsultan akan buat 'presentation' dahulu kepada Exco Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan