KUALA TERENGGANU, 19 November – Keupayaan Kumpulan Terengganu Incorporated (TI) menjana pendapatan dan keuntungan membolehkan syarikat milik kerajaan Terengganu itu menyalurkan RM144.2 juta kepada kerajaan negeri dalam tempoh 18 bulan, sekali gus memperkukuh sumber kewangan bagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut merangkumi pembayaran sebanyak RM105.5 juta pada 2025 dan RM38.7 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Selain memberi pulangan kewangan kepada kerajaan negeri, kumpulan TI turut menyediakan pekerjaan kepada lebih 9,200 tenaga kerja serta menyalurkan RM16.3 juta bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang 2025.
Ahmad Samsuri berkata, kejayaan sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak seharusnya diukur berdasarkan keuntungan semata-mata, tetapi juga sejauh mana keuntungan tersebut dapat memberikan manfaat kepada negeri dan rakyat.
“Mungkin di atas kertas nampak untung banyak, tapi kalau tidak boleh memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat, tidak ada maknanya.
“Kalau tidak ada untung pun tidak ada maknanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, TI turut mencatatkan pencapaian strategik apabila berjaya memperoleh pegangan ekuiti dalam sektor eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas.
Kumpulan itu juga berjaya menarik pelaburan melebihi RM10 bilion bagi Projek Solar Terapung Hidro Hibrid di Tasik Kenyir.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pengembangan perniagaan, penerokaan pelaburan strategik dan pengukuhan tadbir urus GLC bagi memastikan syarikat milik negeri terus berkembang serta meningkatkan sumbangan kepada hasil negeri.
Pendekatan itu turut memberi penekanan kepada penciptaan peluang pekerjaan, penglibatan usahawan tempatan dan limpahan ekonomi kepada masyarakat.