Jalur Gemilang
Berita :
Rumah Terbengkalai Lebih Lima Tahun Boleh Mohon Bantuan Sehingga RM20,000
Rumah Terbengkalai Lebih Lima Tahun Boleh Mohon Bantuan Sehingga RM20,000
Ahmad Zaeem Zainudin
8 minit yang lepas
17

KUALA TERENGGANU, 19 November – Pemilik rumah yang tidak dapat menyiapkan kediaman akibat kekangan kewangan boleh dipertimbangkan menerima bantuan sehingga RM20,000 daripada Kerajaan Terengganu menerusi Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bantuan berkenaan melibatkan rumah yang terbengkalai melebihi tempoh lima tahun dan tertakluk kepada syarat kelayakan ditetapkan.

Menurutnya, pegawai daerah diberi kuasa meluluskan bantuan tersebut sekiranya pemilik rumah termasuk dalam kategori kumpulan sasar PPTS.

“Kebenaran diberikan kepada pegawai daerah bagi kelulusan untuk menyiapkan rumah yang terbengkalai melebihi tempoh lima tahun dengan syarat pemilik rumah adalah tergolong dalam kategori layak untuk dipertimbangkan di bawah kumpulan sasar PPTS.

“Kos untuk menyiapkan rumah terbengkalai tersebut sehingga siap mestilah tidak melebihi kos baik pulih yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh mengenai cadangan bantuan kepada pemilik rumah yang tidak dapat meneruskan pembinaan kediaman akibat kekangan kewangan.

Wan Sukairi berkata, menerusi PPTS, kos pembinaan rumah baharu ditetapkan sebanyak RM85,000, manakala kos baik pulih pula sebanyak RM20,000.

“Ertinya, sekiranya kos untuk menyiapkan rumah itu berjumlah RM20,000 atau kurang, maka ia layak untuk memohon peruntukan daripada PPTS,” jelasnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan