Jalur Gemilang
Berita :
Hospital Marang Perlukan Tapak Baharu, Klinik Kuala Jengal Lulus RM17.5 Juta
Hospital Marang Perlukan Tapak Baharu, Klinik Kuala Jengal Lulus RM17.5 Juta
Ahmad Zaeem Zainudin
11 minit yang lepas
20

KUALA TERENGGANU, 18 November - Cadangan pembinaan Hospital Marang memerlukan tapak baharu yang lebih sesuai berikutan keadaan muka bumi di Bukit Kor yang berbukit dan curam sehingga melibatkan kos pembangunan amat tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, cadangan pembinaan hospital berkenaan masih pada peringkat perancangan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Menurut beliau, JKNT telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) bagi mendapatkan tapak baharu yang lebih sesuai untuk pembangunan fasiliti kemudahan kesihatan itu.

"Untuk makluman Yang Berhormat dan Dewan, cadangan pembinaan Hospital Marang masih pada peringkat perancangan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

"Tapak sedia ada di Bukit Kor, Marang mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit dan curam serta memerlukan kos pembangunan yang amat tinggi. Keadaan ini menyukarkan cadangan pembangunan di tapak tersebut.

"Sehubungan dengan itu, JKN Terengganu telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) bagi mendapatkan tapak baharu yang lebih sesuai untuk cadangan pembinaan Hospital Marang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan ADUN Pengkalan Berangan berhubung status terkini cadangan pembinaan Hospital Marang pada sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Sukairi turut memaklumkan projek pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 6 (KK6) Kuala Jengal, Dungun bernilai RM17.5 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan Keempat.

Katanya, projek berkenaan kini berada pada peringkat pemuktamadan pelan konsep antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum proses pelaksanaan diteruskan.

"Untuk makluman Yang Berhormat, projek pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 6 (KK6) Kuala Jengal, Dungun telah pun diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan Keempat dengan anggaran kos RM17.5 juta.

"Projek ini melibatkan pembinaan dan penyediaan pelbagai kemudahan kesihatan termasuk perkhidmatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian, kecemasan, pengimejan perubatan, farmasi serta pengurusan penyakit-penyakit," ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan