Jalur Gemilang
Berita :
12 Struktur Saliran Dibina Dalam Projek Pemuliharaan Sungai Besut, Jertih
12 Struktur Saliran Dibina Dalam Projek Pemuliharaan Sungai Besut, Jertih
Rohayati Ripin
8 jam yang lepas
150

KUALA TERENGGANU, 18 November – Sebanyak 12 struktur saluran keluar saliran akan dibina menerusi Projek Pemuliharaan Sungai di Lembangan Sungai Besut, Bandar Jertih bagi membantu melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pembinaan struktur berkenaan merupakan sebahagian daripada projek bernilai RM19.7 juta yang mendapat peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, daripada jumlah itu, lapan struktur saluran keluar saliran dibina di Sungai Jertih, manakala empat lagi di Sungai Besut.

"Selain pembinaan struktur saliran, skop projek turut melibatkan kerja pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Jertih sepanjang 700 meter serta Sungai Besut sepanjang 600 meter.

"Keseluruhan kerja penstabilan tebing sungai melibatkan jajaran sepanjang 1.3 kilometer," katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (bajet) hari ini.

Menurutnya, projek yang bermula pada 6 April 2026 itu mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 14 peratus sehingga Oktober lalu dan berjalan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.

Projek berkenaan dijadualkan siap pada 5 April 2028 dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan.

Beliau berkata, pelaksanaannya turut bertujuan mengurangkan risiko hakisan dan runtuhan tebing sungai selain melindungi kawasan kediaman, infrastruktur awam serta harta benda penduduk.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan terus memantau kemajuan fizikal projek serta menyelaras pelaksanaan bersama kontraktor bagi memastikan kerja-kerja berjalan lancar dan disiapkan mengikut tempoh kontrak.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan