Jalur Gemilang
Berita :
76 Bekas Pekerja CJ Bio Terima Tawaran Kerja
76 Bekas Pekerja CJ Bio Terima Tawaran Kerja
Ahmad Zaeem Zainudin
6 jam yang lepas
175

KUALA TERENGGANU, 18 November - Seramai 76 bekas pekerja CJ Bio Malaysia Sdn. Bhd. yang terkesan susulan penutupan operasi baru-baru ini telah menerima tawaran pekerjaan baharu menerusi usaha penempatan semula yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, usaha membantu golongan terjejas itu dilaksanakan menerusi kerjasama Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Menurut beliau, seramai 372 pekerja di operasi Kerteh dan 11 lagi di ibu pejabat syarikat di Petaling Jaya, Selangor terkesan akibat penutupan operasi berkenaan yang berkuat kuasa pada 15 Oktober 2026.

"Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini dan tidak berdiam diri terhadap nasib pekerja yang terjejas. 

"Pelbagai usaha sedang dilaksanakan melalui kerjasama agensi negeri dan persekutuan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ulasnya lagi, menerusi Program Karnival Kerjaya Career Crafting anjuran TVETMARA Kemaman, seramai 166 pekerja CJ Bio telah hadir dengan 76 daripadanya menerima tawaran pekerjaan, manakala 29 orang menerima panggilan untuk menghadiri temu duga kedua dan 47 lagi masih menunggu keputusan temu duga.

Selain itu, jelas beliau Karnival Lindung Kerjaya MyFutureJobs yang berlangsung di Politeknik Sultan Zainal Abidin, Dungun turut membantu enam pekerja memperoleh tawaran pekerjaan, manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan.

Tambahnya, sesi temu duga bersama syarikat IGNIS Sdn. Bhd. di Kemaman turut diadakan dengan penyertaan seramai 130 pekerja CJ Bio.

"Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan usaha penempatan semula pekerja ini dapat diteruskan sehingga lebih ramai daripada mereka memperoleh pekerjaan baharu," ujarnya.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, kehilangan pekerjaan bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah turut melibatkan keluarga dan tanggungan mereka.

"Oleh itu, keutamaan kita adalah memastikan pekerja yang terjejas mendapat sokongan sewajarnya, sama ada melalui peluang pekerjaan baharu, latihan kemahiran atau program peningkatan kebolehpasaran," katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan