Jalur Gemilang
Berita :
15 Peratus Nilai Kontrak Solar Kenyir Disasar Kepada Pemain Tempatan
15 Peratus Nilai Kontrak Solar Kenyir Disasar Kepada Pemain Tempatan
Rohayati Ripin
12 jam yang lepas
12

KUALA TERENGGANU, 18 November – Sekurang-kurangnya 15 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak projek Ladang Solar Terapung Tasik Kenyir diwajibkan diberikan kepada kontraktor dan peniaga tempatan Terengganu bagi memastikan limpahan ekonomi projek itu turut dinikmati pemain industri negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, syarat tersebut merupakan antara ketetapan pelaksanaan projek berkenaan bagi membuka ruang kepada syarikat tempatan menyertai pembangunan sektor tenaga boleh baharu.

Menurutnya, penglibatan kontraktor dan peniaga tempatan tertakluk kepada pematuhan syarat kelayakan serta daya saing yang ditetapkan.

Katanya, manfaat ekonomi projek berkenaan bukan hanya tertumpu kepada penjanaan tenaga elektrik, malah dijangka membuka peluang pekerjaan dan perniagaan sokongan seawal fasa pembangunan.

"Projek Kenyir Hybrid Hydro Floating Solar (HHFS) itu kini memasuki fasa pembangunan dengan kerja-kerja fizikal dan lapangan bermula pada suku ketiga 2026.

"Fasa pertama berkapasiti 595 megawatt (MW) dijangka siap pada suku ketiga 2028, dengan pelaksanaan projek dibuat secara berperingkat di empat kawasan pembangunan sekitar Tasik Kenyir," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewah Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet), hari ini.

Tambahnya, projek kerjasama Terengganu Inc dan TNB Genco itu menggunakan konsep gabungan solar terapung dengan sistem hidroelektrik sedia ada bagi mengoptimumkan penjanaan tenaga, sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga negara.

"Tenaga elektrik yang dijana akan dibeli oleh pembeli korporat menerusi program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS)," ujar beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan