Jalur Gemilang
Berita :
Enam Projek Mega Pacu Pertumbuhan Pertanian Terengganu
Enam Projek Mega Pacu Pertumbuhan Pertanian Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
29 minit yang lepas
57

KUALA TERENGGANU, 19 November - Pelaksanaan enam projek mega yang dirancang dalam sektor pertanian dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi pertanian Terengganu menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, projek berkenaan merupakan antara inisiatif strategik yang dijangka memberi impak lebih ketara apabila mula membuahkan hasil.

"Dan pertumbuhan sektor pertanian Terengganu insya-Allah bakal menunjukkan peningkatan yang lebih ketara apabila beberapa projek mega yang disasarkan menjadi 'game changer' dengan izin," katanya.

Projek berkenaan, menurutnya, merangkumi peluasan Jelapang Padi AIDA Ketara Fasa 2, projek ternakan ayam CAB Cakaran, projek ayam penelur, Walkline Resources Berhad serta projek kelapa oleh Malaysia Kuwait Investment Committee.

Selain itu, projek menaik taraf dan memperkasakan Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Cendering turut menjadi antara pemangkin utama yang disasarkan.

Mengulas perkembangan sektor berkenaan, Azman berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pertanian Terengganu berkembang sebanyak 4.2 peratus pada 2025, mengatasi pertumbuhan nasional sebanyak 2.2 peratus.

Katanya, pencapaian itu juga meletakkan Terengganu di kedudukan kedua tertinggi negara selepas Sarawak yang merekodkan pertumbuhan 4.3 peratus.

"Dan kita berada di posisi kedua di belakang negeri Sarawak yang mencatatkan perkembangan 4.3%. Beza Sarawak yang berada di tangga teratas dengan kita hanyalah 0.1 peratus sahaja," jelasnya.

Beliau berkata, sektor pertanian negeri turut menyumbang sebanyak 7.5 peratus kepada KDNK Terengganu pada 2025 dengan nilai sekitar RM3.1 bilion.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian berkembang antara 10 hingga 12 peratus menjelang 2030, bersamaan purata pertumbuhan lapan peratus setahun berdasarkan potensi dan perkembangan semasa industri berkenaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan