KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan Negeri menyasarkan untuk melahirkan seramai 2,000 usahawan celik digital menerusi pelaksanaan Tahun Usahawan Digital Terengganu (T-DiT) 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu bertujuan mempercepatkan transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan selaras dengan perkembangan teknologi dan ekonomi digital.

"Matlamat utama T-DiT 2027 adalah untuk mewujudkan ekosistem usahawan Terengganu yang celik digital, berdaya saing, mampu menembusi pasaran digital dan meningkatkan prestasi perniagaan melalui penggunaan teknologi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Menurutnya, antara modul latihan yang akan diberikan perhatian termasuk Digital Branding, Content Creation, TikTok Shop, Shopee, WhatsApp Business, Digital Payment, Digital Accounting dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk usahawan.
Selain itu, usahawan turut digalakkan memanfaatkan platform e-dagang, penghasilan kandungan pemasaran digital serta sistem pengurusan perniagaan bagi meningkatkan kecekapan operasi masing-masing.
Tambahnya lagi, pelaksanaan T-DiT 2027 juga memberi penekanan kepada pengukuhan daya saing usahawan B40 supaya golongan berkenaan tidak tercicir daripada arus perkembangan ekonomi digital.
"Usaha ini bukan sekadar mengajar usahawan menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk, tetapi lebih penting ialah membina keupayaan mereka mengurus perniagaan secara lebih sistematik, meningkatkan produktiviti dan mengembangkan pasaran," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, Kerajaan Negeri akan memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai rakan pelaksana melibatkan aspek pembangunan keusahawanan, sokongan teknologi maklumat, infrastruktur digital, latihan, bimbingan perniagaan, pemasaran digital dan e-dagang.
Penggunaan pangkalan data i-SUTRA juga akan dimanfaatkan bagi membantu pengurusan maklumat serta pemantauan pembangunan usahawan secara lebih tersusun.
"Keberhasilan T-DiT 2027 bukan hanya diukur berdasarkan jumlah usahawan yang menghadiri latihan, tetapi melalui perubahan sebenar dalam cara mereka menjalankan perniagaan, peningkatan jualan, peluasan pasaran dan peningkatan pendapatan.
"Kita mahu melihat lebih ramai usahawan tempatan yang mampu membuka kedai dalam talian, memasarkan produk ke seluruh negara, menggunakan teknologi AI dan akhirnya menjadi usahawan digital yang profesional serta berprestasi tinggi," katanya.