Jalur Gemilang
Berita :
Akta Baharu Bukan Alasan Nafi Hak Royalti Terengganu
Akta Baharu Bukan Alasan Nafi Hak Royalti Terengganu
Mastura Jamal Din
8 minit yang lepas
16

KUALA TERENGGANU, 19 November – Sebarang akta yang diperkenalkan selepas perjanjian pembayaran petroleum dimeterai pada 1975 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan hak royalti Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak berkenaan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempertikaikannya.

Menurutnya, perjanjian pembayaran tunai antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan Kerajaan Negeri Terengganu yang dimeterai pada 1975 berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974 merupakan dokumen penting yang perlu dihormati.

“Perjanjian ini bukan sekadar catatan sejarah untuk dirujuk atau disimpan dalam muzium dan arkib, tetapi dokumen penting yang mesti diberikan perhatian serius dalam menentukan kedudukan hak pembayaran petroleum kepada Terengganu.

“Sebarang akta yang dibuat selepas itu tidak wajar dijadikan penyebab atau alasan untuk membatalkan hak Terengganu yang telah dimeterai lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Samsuri menegaskan, isu royalti bukan sekadar dibangkitkan berulang kali tanpa tujuan, sebaliknya merupakan tuntutan terhadap hak negeri yang perlu terus diperjuangkan.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal apabila pembayaran hasil petroleum kepada Terengganu tidak lagi diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan negeri sejak pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.

Katanya, meskipun pelbagai istilah digunakan termasuk wang tunai petroleum, wang ehsan dan wang khas Kerajaan Persekutuan, hakikatnya pengurusan pembayaran berkenaan tidak lagi berada sepenuhnya di bawah kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri berharap keadaan tersebut dapat dipulihkan sepenuhnya sekiranya berlaku perubahan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Ini adalah hakikat dan realiti yang terpaksa kita telan serta sama-sama tangani.

“Kita berdoa, insya-Allah, keadaan ini akan pulih sepenuhnya seperti yang sepatutnya,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan