lightning-solid
Berita :
37 Rumah Rosak Dilanda Ribut, Kerja Pembaikan Dilaksana Segera
37 Rumah Rosak Dilanda Ribut, Kerja Pembaikan Dilaksana Segera
Muhammad Rafie
7 jam yang lepas
186

HULU TERENGGANU, 24 Ogos – Sebanyak 37 buah rumah di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dilaporkan mengalami kerosakan selepas dilanda ribut kencang sekitar jam 5.00 petang, semalam.

Kejadian pada 23 Ogos itu menjejaskan beberapa kawasan sekitar, dengan Kampung Getang mencatatkan jumlah kerosakan tertinggi melibatkan 23 buah rumah.

Selain Kampung Getang, kawasan lain yang turut terjejas ialah Lubuk Erong sebanyak empat buah rumah, Tanjung Aur (empat), Pantai Ali (tiga), Tapu (dua) dan Chepoh (satu).

Susulan kejadian tersebut, Pegawai Khas kepada ADUN Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh, turun meninjau keadaan mangsa serta melihat sendiri tahap kerosakan yang dialami.

Tinjauan itu turut disertai wakil agensi berkaitan, Penghulu Mukim serta jurutera daripada Pejabat Daerah bagi menjalankan penilaian dan pemeriksaan teknikal terhadap rumah-rumah yang terjejas.


Kerja-kerja pembaikan bagi kawasan Lubuk Erong, Chepoh, Pantai Ali, Tanjung Aur dan Tapu dijangka dilaksanakan serta diselesaikan dengan kadar yang segera.

Bagi Kampung Getang yang melibatkan jumlah rumah paling banyak, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan kadar kerosakan yang dialami.

Langkah segera itu diambil bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela selain membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat kejadian ribut.

Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan turut komited memastikan bantuan dan tindakan susulan dapat disalurkan dengan segera kepada semua mangsa yang terlibat.


Tag :

Artikel Berkaitan