KUALA TERENGGANU, 24 September – Pemandangan Pantai Batu Buruk dari tepi jalan bakal kembali lebih terbuka susulan langkah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyusun semula penempatan 70 peniaga ke tapak baharu berhampiran Primula dan A&W.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, tapak baharu itu masih terletak di kawasan tepi pantai, sekali gus membolehkan peniaga meneruskan perniagaan tanpa menjejaskan pemandangan pantai yang menjadi antara tarikan utama Batu Buruk.
“Sebelum ini, dari tepi jalan kita tak nampak pantai kerana yang kelihatan hanya gerai-gerai perniagaan. Sekarang kita mahu orang ramai dapat melihat pantai, pasir dan laut dengan lebih jelas.
“Semua peniaga ada tempat. Hari ini kita mula pindahkan mereka dan mereka juga sudah boleh berniaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Lizan, penyusunan semula itu merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang MBKT untuk mengekalkan keindahan Pantai Batu Buruk, selain menjadikan kawasan berkenaan lebih menarik kepada pengunjung dan pelancong.
Katanya, pemandangan pantai yang tidak lagi terlindung oleh deretan gerai dijangka memberi pengalaman lebih baik kepada orang ramai yang berkunjung ke kawasan tersebut.
“Apabila pantai dapat dilihat dengan lebih jelas, kita berharap ia akan menggalakkan lebih ramai pelancong datang ke Batu Buruk.
“Dalam masa sama, kita mahu keindahan pasir pantai dan desiran ombak dapat dinikmati pengunjung tanpa terhalang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lizan berkata aspek kebersihan turut diberikan perhatian dengan persatuan peniaga akan menyediakan tong sampah di tapak baharu bagi memastikan kawasan perniagaan dan persekitaran pantai sentiasa bersih serta terurus.
Menurutnya, penempatan semula tersebut turut mengambil kira kepentingan peniaga supaya mereka dapat terus menjalankan perniagaan dalam keadaan yang lebih tersusun.
“Ini adalah penyelesaian untuk jangka panjang kerana kita mahu mengekalkan keindahan pantai, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan keperluan peniaga,” katanya.
Beliau berharap susunan baharu itu dapat mewujudkan keseimbangan antara aktiviti perniagaan dan usaha memelihara Pantai Batu Buruk sebagai antara lokasi tumpuan pelancongan di Kuala Terengganu.