Jalur Gemilang
Berita :
7,177 Usahawan Terengganu Terima Manfaat TUGAS Sejak 2019
7,177 Usahawan Terengganu Terima Manfaat TUGAS Sejak 2019
Noraini Jusoh
4 jam yang lepas
105

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober –  Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sehingga kini telah menyalurkan peruntukan yang merangkumi pembiayaan, geran dan dana sebanyak RM36.2 juta kepada 7,177 usahawan sejak bermula pelaksanaan Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) pada tahun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, skim TUGAS diperkenalkan sebagai instrumen kerajaan negeri bagi membantu usahawan mendapatkan pembiayaan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.

“Sempena program kali ini, sebanyak RM1,070,178.40 disalurkan kepada 172 usahawan menerusi pembiayaan TUGAS serta Geran DUIT dan D-HATI.

“Daripada jumlah itu, seramai 169 usahawan menerima pembiayaan TUGAS berjumlah RM1,057,900, manakala tiga usahawan menerima Geran DUIT dan D-HATI berjumlah RM12,278.48,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2026 dan Majlis Penyerahan Replika Cek kepada Penerima Skim TUGAS kali ke 3-2026 di Hotel Primula, di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, kemudahan pembiayaan yang disediakan merupakan amanah dan peluang yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh setiap penerima.

“Kita mengharapkan semua peminjam melaksanakan bayaran balik mengikut jadual yang dipersetujui bagi memastikan dana ini dapat terus dimanfaatkan oleh lebih ramai usahawan,” ujarnya.

Katanya, konsep TUGAS berasaskan dana pusingan iaitu bayaran balik yang diterima akan digunakan semula untuk membantu usahawan lain memulakan atau mengembangkan perniagaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan