Jalur Gemilang
Berita :
Buluh Gading Sumbang RM24,597 Untuk Palestin
Buluh Gading Sumbang RM24,597 Untuk Palestin
Mohd Haniff Abas
1 jam yang lepas
46

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober – Sebanyak RM24,597 berjaya dikumpul oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading sempena Program Taufan Al-Aqsa Peringkat Negeri Terengganu sebagai tanda solidariti dan keprihatinan masyarakat terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kutipan tersebut hasil sumbangan usahawan dan masyarakat setempat yang turut sama menyatakan keprihatinan terhadap nasib saudara Islam di Palestin.

“Alhamdulillah, sebanyak RM24,597 berjaya dikumpulkan di DUN Buluh Gading sempena Program Taufan Al-Aqsa Peringkat Negeri Terengganu. Sumbangan ini membuktikan keprihatinan dan solidariti masyarakat kita terhadap saudara Islam di Palestin,” katanya.

Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi selepas selesai Kuliah Maghrib Khas Taufan Al-Aqsa di Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda, malam tadi.

Ridzuan turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Muhammad Khalil atas kesudian menyampaikan kuliah  selain berterima kasih kepada pihak pengurusan masjid dengan kerjasama yang diberikan serta semua pihak yang menjayakan program tersebut.

“Terima kasih kepada para usahawan dan seluruh masyarakat yang telah menyumbang, khususnya mereka yang tampil menghulurkan bantuan demi meringankan beban saudara kita di Palestin.

“Semoga setiap ringgit yang disumbangkan menjadi amal jariah, bukti solidariti dan tanda kasih sesama umat Islam serta dikurniakan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah SWT,” katanya.

Beliau berharap semangat keprihatinan dan kebersamaan ini terus subur dalam masyarakat, sekali gus membuktikan bahawa penderitaan rakyat Palestin sentiasa mendapat perhatian dan sokongan umat Islam di negara ini.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan