Jalur Gemilang
Berita :
Keluarga Tinggal di Pondok Kini Miliki Kediaman Lebih Selesa
Keluarga Tinggal di Pondok Kini Miliki Kediaman Lebih Selesa
Mastura Jamal Din
8 jam yang lepas
155

BESUT, 28 November - Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera yang bertindak pantas menyelesaikan kesusahan rakyat membolehkan sebuah keluarga yang sebelum ini tinggal di pondok di Pantai Beting Lintang, di sini, berpindah ke kediaman lebih selesa dalam tempoh hanya 48 jam. 

Keluarga Wan Azizi Wan Abdul Rahman bersama isterinya, Rohani Mohamed dan anak-anak mereka kini boleh menarik nafas lega selepas ditempatkan di Perumahan Orang Miskin Taman Ehsan, Pengkalan Kubur, Tembila pada 25 November lalu.

Mohd Nurkhuzaini berkata, tindakan membantu keluarga berkenaan digerakkan sebaik Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kota Putera menerima aduan mengenai keadaan tempat tinggal mereka.

Menurutnya, pada 23 November lalu, Pegawai Khas beliau bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang meninjau sendiri keadaan keluarga itu di pondok yang didiami mereka di Pantai Beting Lintang.

"Isu keluarga ini kemudian dibawa ke Mesyuarat Focus Group pada 24 November bagi mengenal pasti penempatan yang bersesuaian sebelum mereka dibantu berpindah ke kediaman baharu sehari selepas itu.

"Status penempatan keluarga ini turut dibentangkan secara rasmi dalam Mesyuarat Pembangunan pada 26 November," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya semalam.

Beliau berkata, pendekatan turun padang dan penyelarasan bersama agensi berkaitan penting bagi memastikan setiap aduan rakyat tidak sekadar didengar, sebaliknya disusuli tindakan penyelesaian.

Dalam perkembangan berkaitan, keluarga berkenaan turut menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM1,000 berbanding RM850 sebelum ini, selepas kadar bantuan itu dinaikkan sejak Ogos lalu.

Bagaimanapun, bantuan sewa rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang diterima keluarga itu sebelum ini terhenti sementara sejak Februari lalu berikutan kekangan proses pembaharuan tahunan.

Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya kini turut membantu menyelaras semula urusan berkenaan bagi memastikan kebajikan keluarga itu terus terbela.

Keluarga berkenaan mempunyai enam anak yang masih bersekolah, manakala dua daripadanya turut mendapat bantuan penjagaan daripada nenek mereka yang tinggal di kampung sama.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang berkongsi maklumat, selain JKM, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta agensi berkaitan yang bekerjasama menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, kerjasama semua pihak membuktikan bahawa keprihatinan masyarakat yang disusuli tindakan pantas agensi kerajaan mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan golongan yang memerlukan.

"Semoga keluarga ini dapat memulakan kehidupan baharu dengan lebih selamat, selesa dan teratur di kediaman yang disediakan," katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan