Jalur Gemilang
Berita :
KMI Kuala Terengganu Raih Anugerah Perak HRD Corp, Tenaga Kerja  Berkembang Hampir 550 Orang
KMI Kuala Terengganu Raih Anugerah Perak HRD Corp, Tenaga Kerja Berkembang Hampir 550 Orang
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
177

KUALA TERENGGANU, 27 November – KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMI Kuala Terengganu) membuktikan komitmennya dalam pembangunan modal insan apabila berjaya meraih Anugerah Perak bagi kategori Strategic Learning Investment for Larger Employers pada HRD Corp Awards 2026.

Pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan hospital berkenaan melabur dalam pembangunan kompetensi, kemahiran dan profesionalisme pekerja bagi memastikan tenaga kerja sentiasa bersedia menghadapi perubahan industri penjagaan kesihatan.

Pengurus Besarnya, Muhammad Ghazali Zainal Yusof berkata, pencapaian tersebut merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap komitmen organisasi menjadikan pekerja sebagai aset utama dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Menurutnya, pelaburan dalam pengetahuan, kemahiran dan pembangunan pekerja amat penting bagi memperkasakan mereka untuk meningkatkan prestasi serta memberikan pengalaman rawatan lebih baik kepada pesakit.

"Pengiktirafan ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa pekerja merupakan aset terbesar organisasi, dan pelaburan dalam pengetahuan, kemahiran serta pembangunan mereka adalah penting untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

"Lebih penting lagi, pencapaian ini merupakan bukti kepada misi kami untuk menjadi sebuah organisasi pembelajaran, di mana pembelajaran dan pembangunan berterusan diterapkan dalam budaya kerja kami. 

"Kami percaya bahawa apabila kita melabur dalam pembangunan pekerja, kita memperkasakan mereka untuk berkembang, mencapai kecemerlangan dan memberikan yang terbaik, sekali gus menyumbang kepada pengalaman pesakit yang lebih baik serta kecemerlangan organisasi," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pencapaian hospital itu yang menerima anugerah berkenaan pada majlis HRD Corp Awards di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, Kuala Lumpur, pada 25 November lalu dalam satu kenyataan media.

Anugerah tersebut disampaikan Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz dengan kehadiran Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan.

Dalam perkembangan berkaitan, KMI Kuala Terengganu turut mencatat pertumbuhan tenaga kerja yang ketara sepanjang 20 tahun operasinya apabila meningkat daripada kurang 100 pekerja pada peringkat awal penubuhan kepada hampir 550 orang ketika ini.

"Pertumbuhan yang membanggakan ini mencerminkan perkembangan operasi hospital serta peningkatan tanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan. 

"Pada masa yang sama, perkembangan ini turut membuka peluang pekerjaan yang bernilai kepada masyarakat setempat dan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, kompeten serta berdaya maju di Terengganu," ujarnya.

Melangkah ke hadapan, KMI Kuala Terengganu akan terus memperkukuh strategi pelaburan pembelajaran, meningkatkan keupayaan pekerja serta memupuk persekitaran kerja yang menggalakkan penambahbaikan berterusan, inovasi dan kecemerlangan.

Mengulas lanjut, Muhammad Ghazali berkata, pihaknya mahu terus membudayakan pembelajaran berterusan dalam organisasi bagi membolehkan pekerja berkembang, meningkatkan keupayaan profesional dan menyesuaikan diri dengan keperluan industri kesihatan yang semakin mencabar.

"Dalam meraikan pencapaian ini, KMI Kuala Terengganu kekal teguh dengan komitmennya terhadap tagline Menerajui Kehidupan Sihat dengan terus melabur dalam pembangunan insan yang menjadi tunjang kepada penyampaian penjagaan kesihatan berkualiti.

"Serta berkhidmat kepada masyarakat Terengganu dan Pantai Timur dengan penuh dedikasi dan kecemerlangan," tambah beliau. 

KMI Kuala Terengganu yang ditubuhkan pada September 2006 merupakan hospital swasta pertama di Terengganu yang mendapat lesen penuh dan menyediakan pelbagai perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar.

Hospital berkenaan diuruskan KMI Healthcare, anak syarikat TDM Berhad, dan terus komited memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti, selamat serta berpusatkan pesakit kepada masyarakat Terengganu dan Pantai Timur.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan