Jalur Gemilang
Berita :
Ada Yang 'Tak Kena' Dengan Dr. Sam
Ada Yang 'Tak Kena' Dengan Dr. Sam
Husaif Mamat
55 minit yang lepas
58

Ada yang tak kena dengan Dr Sam.

Biasanya, kalau pilihan raya dah dekat, ahli politiklah orang paling pemurah. Macam-macam bantuan diumumkan. Yang lama dijenamakan semula, yang baharu diperkenalkan. Kalau boleh, setiap kali umum bantuan, biar rakyat ingat siapa yang bagi.

Maklumlah, musim pilihan raya. Inilah masanya hendak mengambil hati rakyat. Lagi besar angka diumumkan, lagi kuat tepukan diharapkan.

Tetapi peliknya Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ini.

Belanjawan 2027 yang dibentangkan semalam seolah-olah tidak ada pilihan raya di hadapan mata.

Bukan tidak ada bantuan. Bantuan rawatan wad kelas ketiga diteruskan, begitu juga Kad Sejahtera yang banyak membantu rakyat. Ada pula Bantuan Khairat Kematian dan program RAHMAT bagi membantu rakyat yang mempunyai tanah sendiri tetapi belum berkemampuan membina rumah.

Menariknya, ketika menyentuh bantuan-bantuan ini, Dr Sam tidak terlalu ghairah menonjolkan angka kos peruntukan. Tidak pula cuba menjadikan setiap bantuan sebagai pengumuman besar. Disebut secara bersahaja, kemudian diteruskan dengan perancangan lain.

Berbeza dengan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih gemar menonjolkan jumlah bantuan, bilangan penerima dan nilai pemberian sambil memuji diri sendiri. Malah, penambahbaikan kepada bantuan sedia ada juga sering mendapat perhatian besar dalam pengumuman kerajaan.

Tidak salah kerajaan memberikan bantuan. Itu memang tanggungjawabnya. Cuma jangan sampai rakyat merasakan bantuan daripada wang awam itu seolah-olah pemberian peribadi seseorang pemimpin.

Menariknya, Dr. Sam lebih banyak memberikan tumpuan kepada bagaimana Terengganu mahu bergerak ke hadapan. Memperkukuh kewangan negeri, meningkatkan hasil, menarik pelaburan, menyediakan peluang pekerjaan dan membina kesejahteraan rakyat untuk jangka panjang.

Beliau turut membawa pemikiran bahawa kejayaan sesebuah negeri tidak wajar diukur melalui angka ekonomi semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kekuatan agama, keluarga, masyarakat, ilmu dan keselamatan.

Sedangkan, jika mahu mengambil kesempatan politik, inilah antara waktu terbaik untuk mengumumkan pelbagai pemberian yang boleh menggembirakan rakyat menjelang pilihan raya.

Namun, Dr. Sam kelihatan lebih berminat bercakap tentang apa yang perlu dibina untuk masa depan berbanding apa yang boleh diberikan untuk meraih tepukan hari ini.

Sudah tentu, segala perancangan itu akhirnya mesti dibuktikan melalui pelaksanaan. Rakyat tetap mahu melihat hasilnya, bukan sekadar mendengar perancangan yang indah.

Barangkali Dr. Sam mempunyai keyakinan bahawa rakyat Terengganu sudah cukup matang untuk menilai kerajaan berdasarkan prestasi pentadbiran, bukan semata-mata jumlah bantuan yang diumumkan menjelang pilihan raya.

Sebab itulah saya kata, ada yang tak kena dengan Dr Sam.

Ketika orang politik lazimnya sibuk memikirkan bagaimana mahu memenangi pilihan raya, Dr Sam kelihatan lebih sibuk memikirkan bagaimana mahu mengurus negeri.

Macam tak ada pilihan raya pula tahun depan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan