BESUT, 14 November – Seawal jam 5 pagi, ketika kebanyakan kanak-kanak seusianya masih lena, Ahmad Suffyan Mohd Nor, 10, sudah bangun bersiap sebelum dibawa bapanya ke Surau Bukit Mali untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.
Rutin itu bukan perkara baharu bagi Sufian kerana dia sudah dibiasakan bapanya, Mohd Nor Samat, untuk mendekati rumah Allah sejak kecil dan istiqamah ke surau sejak berusia tujuh tahun.
Lebih membanggakan, selepas selesai solat Subuh, Sufian akan menunggu gurunya datang mengambilnya di surau sekitar jam 6.30 pagi untuk ke Sekolah Rendah Islam Darul Furqan (SRIDAF) yang terletak agak jauh dari kediamannya di Kampung Bukit Mali.
Ketekunan Sufian mengimarahkan surau, khususnya solat Subuh, Maghrib dan Isyak berjemaah, turut menyebabkan dia dikenali sebagai ‘bilal kecil’ dalam kalangan jemaah Surau Bukit Mali.
Menurut ibunya, Zurni Matzaid, 38, rutin berkenaan terbentuk hasil pendekatan keluarga yang membiasakan anak-anak menghadiri majlis ilmu dan mendekati masjid serta surau sejak kecil.
“Sejak umur setahun, bapanya sudah membawa anak-anak ke majlis ilmu agama. Setiap Jumaat, kami akan ke surau atau masjid untuk mendengar dan belajar ilmu agama.
“Apabila Suffyan berusia tujuh tahun, bapanya mula membawanya solat berjemaah di Surau Bukit Mali dan lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan kepadanya,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman,(UPDI) hari ini.
Minat Sufian terhadap azan pula tercetus selepas menyertai pertandingan azan di sekolah sebelum dia mula berjinak-jinak menjadi bilal di surau berkenaan.
Keistiqamahannya itu turut mendapat perhatian Ahli Jawatankuasa Surau Bukit Mali, Muhammad Al Naim, yang mengambil inisiatif mencari individu yang sudi menghadiahkan sebuah basikal kepadanya.
Menurut Muhammad Al Naim, beliau memaklumkan perkara itu kepada Ustaz Farhan yang bertugas di sebuah institusi perbankan di Kuala Lumpur sebelum lelaki berkenaan tampil menyumbangkan basikal tersebut.
Basikal itu diserahkan kepada Sufian pada 12 November lalu selepas solat Isyak sebagai tanda penghargaan dan galakan terhadap kesungguhannya mengimarahkan surau.
Bagi Zurni, perhatian yang diberikan jemaah terhadap anaknya itu sesuatu yang tidak pernah dijangka keluarga.
“Saya sangat bersyukur dan teruja. Bagi kami, apa yang dilakukan selama ini adalah perkara biasa untuk kebaikan anak-anak dan keluarga. Kami tidak sangka ia mendapat perhatian jemaah dan masyarakat.
“Harapan kami semoga Suffyan terus istiqamah, taat kepada Allah dan ibu bapa serta berbakti kepada masyarakat,” tambah beliau
Sufian merupakan anak kedua daripada dua beradik dan menetap bersama keluarganya di Kampung Bukit Mali, Bukit Payong, Jertih.