SETIU, 21 Julai – Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jabi terus mendekati warga setempat menerusi penganjuran Program YB Cakna Komuniti Unit Daerah Mengundi (UDM) Tok Dor, yang turut diserikan dengan majlis keraian ulang tahun kelahiran golongan beliawanis (wanita muda) bagi bulan Julai dan Ogos.
Program berkenaan disemarakkan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim bersama isteri, Puan Nik Yushanida Nik Yusof yang turun padang menyantuni serta meluangkan masa bersama golongan wanita muda kawasan berkenaan.
Suasana majlis berlangsung meriah dengan acara pemotongan kek, sajian jamuan ringan pelbagai jenis kuih-muih, serta penyampaian hadiah cenderamata kepada setiap beliawanis yang diraikan bagi menghargai kehadiran dan penglibatan mereka.
Dato’ Dr. Azman berkata, program santuni rakyat di peringkat akar umbi seperti itu menjadi platform terbaik untuk menghargai peranan serta penglibatan aktif golongan wanita muda dalam aktiviti kemasyarakatan.

"Selamat hari lahir diucapkan kepada semua beliawanis DUN Jabi yang menyambut hari lahir pada bulan Julai dan Ogos. Semoga dipanjangkan usia dalam kebaikan buat semua," katanya di program terbabit, semalam.
Beliau menambah, program libat urus di peringkat UDM Tok Dor itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara kepimpinan DUN, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk tempatan, malah memupuk semangat keharmonian dalam sesebuah komuniti.