Jalur Gemilang
Berita :
Ahmad Samsuri: Belanjawan 2027 Perlu Seimbang Fiskal, Kebajikan Rakyat
Ahmad Samsuri: Belanjawan 2027 Perlu Seimbang Fiskal, Kebajikan Rakyat
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Disiplin fiskal dan kesejahteraan rakyat perlu diseimbangkan dalam pelaksanaan Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion bagi memastikan peruntukan yang disediakan mampu memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kejayaan belanjawan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya melalui keberkesanannya dalam meningkatkan pendapatan rakyat, menyediakan pekerjaan berkualiti dan mengurangkan beban kos sara hidup.

Beliau berkata daripada RM459.8 bilion perbelanjaan Persekutuan, sebanyak RM376.8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM83 bilion untuk pembangunan.

Katanya, dengan caj perkhidmatan hutang mencecah RM61 bilion, disiplin fiskal dan kecekapan perbelanjaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan dalam jangka panjang.

“Baki RM50.2 bilion yang melibatkan pelaburan entiti berkaitan kerajaan dan kerjasama awam-swasta juga perlu dipantau dengan teliti supaya manfaat ekonomi dan komitmen kewangannya dapat dinilai secara telus,” katanya dalam kenyataan media mengenai Belanjawan 2027.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut mengalu-alukan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain langkah meningkatkan pendapatan pekerja.

Bagaimanapun, beliau berkata keutamaan jangka panjang perlu diberikan kepada usaha meningkatkan kuasa beli rakyat, menyediakan peluang pekerjaan yang setimpal serta memperkukuh perusahaan tempatan.

Beliau berkata Belanjawan 2027 akan diteliti secara bertanggungjawab di Parlimen, dengan langkah yang baik akan disokong manakala aspek yang memerlukan penambahbaikan akan dikemukakan melalui cadangan sewajarnya.

“Pada akhirnya, kejayaan belanjawan bukan diukur pada besarnya angka yang diumumkan, tetapi pada manfaat sebenar yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan