Berita :
'Angka Ekonomi Cantik Tak Cukup Jika Rakyat Tak Merasa' - Dr. Sam
'Angka Ekonomi Cantik Tak Cukup Jika Rakyat Tak Merasa' - Dr. Sam
Husaif Mamat
3 jam yang lepas
37

KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan bahawa dasar ekonomi tidak boleh dinilai semata-mata melalui angka pertumbuhan yang kelihatan baik di atas kertas, sebaliknya perlu dilihat pada kesan sebenar kepada rakyat bawahan.

Beliau berkata, sesuatu dasar atau intervensi kerajaan mungkin kelihatan baik dari segi perancangan, namun boleh gagal sekiranya pelaksanaannya tidak berjalan dengan betul.

“Dasar bagus tapi akhirnya bila 'implementation' itu tak berjalan dengan sepatutnya maka dia akan gagal,” katanya ketika berucap dalam program membincangkan krisis Asia Barat dan strategi intervensi ekonomi di Kuala Lumpur hari ini. 


Menurut Ahmad Samsuri, selain pelaksanaan, cara sesuatu dasar itu diperkenalkan kepada rakyat juga memainkan peranan penting.

Beliau berkata, dasar yang tidak difahami atau dilihat membebankan boleh mengundang reaksi negatif rakyat, walaupun nilai atau jumlah yang terlibat tidak begitu besar.

Ketua Pembangkang itu turut memberi contoh pengalaman Pakistan sekitar 1960-an apabila negara itu mencatat pertumbuhan KDNK dan sektor pembuatan yang memberangsangkan selepas melaksanakan pembaharuan ekonomi.


Namun, katanya, angka yang kelihatan baik itu tidak menyelesaikan masalah sebenar rakyat apabila penguasaan ekonomi akhirnya tertumpu kepada kelompok industri, perbankan dan insurans tertentu.

“'Numbers look so good, rosy picture everything', tapi 'it doesn’t solve the real problem of the people',” katanya.

Dalam masa sama, Pengerusi PN itu berkata perbincangan mengenai krisis Asia Barat tidak harus terhad kepada isu perang semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada kesan ekonomi yang sedang dan akan ditanggung negara.

Katanya, Malaysia perlu menilai sejauh mana negara bersedia menghadapi kesan krisis tersebut, termasuk peranan kerajaan, Bank Negara dan pengawal selia kewangan.

Beliau berkata, langkah segera dan praktikal perlu dikenal pasti tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara, selain merangka langkah pertengahan untuk membina daya tahan ekonomi.

Ahmad Samsuri turut menekankan keperluan persediaan masa depan supaya negara tidak kembali bermula dari kosong setiap kali berlaku krisis luar yang sukar dikawal.

Katanya, sektor strategik seperti makanan, tenaga, logistik dan kewangan perlu ditambah baik supaya lebih stabil dan berdaya tahan untuk tahun-tahun mendatang.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan