KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Penganjuran Anugerah Apresiasi Media Terengganu 2026 menjadi tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan pengamal media dan penggiat kandungan digital dalam menyampaikan maklumat serta merakam perjalanan pembangunan negeri kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha di sebalik setiap laporan, gambar dan rakaman wajar dikenang.

"Kerana setiap berita yang ditulis, setiap gambar yang dirakam dan setiap kisah yang dilaporkan hari ini suatu masa nanti akan menjadi sebahagian daripada sejarah negeri dan negara kita," katanya yang mewakili Menteri Besar ketika merasmikan majlis berkenaan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Tegas beliau, Kerajaan Negeri menghargai khidmat dan komitmen pengamal media yang terus menjalankan tugas mendapatkan maklumat tepat dalam pelbagai situasi.
Anugerah Apresiasi Media Terengganu 2026 merangkumi tujuh kategori utama termasuk anugerah khas bagi mengiktiraf sumbangan tokoh media menerusi subkategori Tokoh Media Berpengaruh dan Tokoh Media Berjasa.

"Memasuki 2026, semangat asal penganjuran ini tetap sama, menghargai mereka yang bekerja menyampaikan maklumat dan merakamkan perjalanan negeri ini.
"Anugerah ini mungkin disampaikan dalam satu majlis tetapi nilai sebuah karya media boleh kekal jauh lebih lama daripada majlis penganugerahannya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berharap hubungan baik antara UPDI dan organisasi media dapat terus diperkukuh bagi kemudahan urusan penyampaian maklumat kepada masayarakat.
"Harapan saya, hubungan UPDI dengan semua rakan media yang sedia baik ini akan menjadi lebih baik selepas ini.
"Mudah-mudahan kerjasama yang terjalin memudahkan saudara saudari menjalankan tugas serta membantu rakyat Terengganu menerima maklumat yang mereka perlukan," nyatanya.
Beliau juga berharap agar pengiktirafan sedemikian akan menjadi pembakar semangat kepada semua pengamal media dan penggiat kandungan digital untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan bermanfaat kepada umum.