Jalur Gemilang
Berita :
Asnaf DUN Buluh Gading Terima Bantuan Keperluan Harian
Asnaf DUN Buluh Gading Terima Bantuan Keperluan Harian
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
47

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober – TDM Berhad (TDM) menyalurkan sumbangan kepada 100 asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading menerusi Program TDM Bersama Masyarakat Buluh Gading.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, ia bukan sahaja memberi ruang kepada pelbagai pihak berinteraksi dengan masyarakat malah membantu memahami keperluan sebenar komuniti setempat.

“Melalui kerjasama antara pelbagai pihak, kita dapat memperkukuh jaringan sokongan sosial yang mampu membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam meringankan beban kos sara hidup dan memastikan keperluan asas mereka terus terpelihara,” katanya ketika berucap di program berkenaan. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin serta Pegawai Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Daerah Zon Tengah, Ahmad Imran Muhamad.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Amal DUN Buluh Gading itu bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup serta keperluan harian komuniti setempat.

Setiap asnaf menerima sumbangan bernilai RM200 merangkumi barangan keperluan dapur dan bantuan kewangan.

Sementara itu, Najman berkata, penglibatan TDM bersama masyarakat setempat merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

“TDM akan terus komited untuk membina hubungan bersama masyarakat dan meneroka lebih banyak inisiatif yang dapat memberikan impak positif kepada masyarakat setempat secara berterusan,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan