Jalur Gemilang
Berita :
Darul Barakah Bantu 122 Pelatih Kembali ke Pangkal Jalan
Darul Barakah Bantu 122 Pelatih Kembali ke Pangkal Jalan
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
37

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober – Seramai 122 pelatih Pusat Pemulihan Dadah Holistik Negeri Terengganu, Darul Barakah berjaya menamatkan program pemulihan sejak pusat itu beroperasi pada 2021 hingga 22 Oktober lalu, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk membina kehidupan baharu bersama keluarga dan masyarakat.

Pengurus Darul Barakah, Alif Mahari berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan pusat berkenaan dalam membantu individu yang terjebak dengan penagihan dadah melalui pendekatan pemulihan holistik.

Menurutnya, Darul Barakah merekodkan keseluruhan 413 kemasukan pelatih sejak penubuhannya dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 2022 iaitu 106 orang.

"Jumlah kemasukan pada 2023 pula seramai 101 orang, diikuti 2025 (68 orang), 2021 (58 orang), 2024 (47 orang) dan 2026 seramai 33 orang sehingga 22 Oktober.

"Sementara itu, rekod pelatih keluar mengikut tahun menunjukkan jumlah tertinggi pada 2023 iaitu 90 orang, diikuti 2025 (68 orang), 2022 (66 orang), 2024 (63 orang), 2026 (38 orang) dan 2021 seramai 17 orang," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, program pemulihan di pusat berkenaan memberi penekanan kepada pembentukan disiplin, pengukuhan kerohanian, bimbingan agama serta penerapan kemahiran hidup bagi membantu pelatih membina semula keyakinan dan mengubah kehidupan mereka.

Katanya, usaha pemulihan tidak berakhir selepas seseorang pelatih menamatkan program, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat.

"Peluang pekerjaan, hubungan kekeluargaan yang baik dan bimbingan susulan amat penting bagi membantu bekas pelatih mengekalkan perubahan positif serta mengelakkan mereka kembali terjerumus dalam penagihan.

"Sebahagian bekas pelatih telah menunjukkan perubahan positif dan berjaya membina kehidupan semula. Perkembangan seperti ini memberikan harapan kepada keluarga serta menguatkan semangat kami untuk meneruskan usaha," ujarnya.

Menurutnya, penubuhan Darul Barakah oleh kerajaan negeri pada 2021 mencerminkan komitmen dalam menyediakan ruang pemulihan kepada individu yang terkesan akibat masalah penagihan dadah.

Mengulas pendekatan menangani isu berkenaan, Alif menambah, usaha membanteras masalah dadah tidak boleh bergantung kepada pemulihan semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara menyeluruh menerusi pencegahan, pendidikan masyarakat dan penguatkuasaan.

Katanya, kerjasama kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkhidmatan kesihatan dan pertubuhan masyarakat penting bagi memperluas bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya mengelakkan stigma dan ejekan terhadap individu yang berdepan masalah penagihan dadah serta keluarga mereka kerana sokongan persekitaran turut memainkan peranan penting dalam proses pemulihan.

"Di sebalik statistik tersebut, ada insan yang sedang berusaha keluar daripada ketagihan dan keluarga yang mengharapkan perubahan. Setiap insan yang kembali pulih membawa harapan kepada sebuah keluarga serta masa depan yang lebih baik," ujarnya.

Mengulas kebimbangan masyarakat terhadap kedudukan Terengganu dalam statistik penagihan dadah, beliau berkata, data berkenaan perlu ditafsirkan dengan tepat kerana kadar bagi setiap 100,000 penduduk berbeza daripada jumlah keseluruhan individu yang direkodkan.

Bagaimanapun, katanya, kebimbangan masyarakat terhadap isu itu wajar diberikan perhatian, manakala teguran dan cadangan membina perlu dijadikan ruang untuk menilai serta menambah baik pendekatan sedia ada.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan