KEMAMAN, 13 Januari – Disangka bunyi pokok jatuh, rupanya dahan pokok durian besar telah menghempap bahagian dapur sebuah rumah di Kampung Pondok Pasir di sini, dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Jumaat.
Fatimah Hussin, 70, berkata beliau menyedari bunyi dentuman ketika kejadian berlaku, namun tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang serius.
“Pada mulanya saya dengar bunyi dentuman, tetapi saya sangka itu hanya bunyi pokok tumbang di luar rumah.
Saya tidak keluar melihat keadaan sehingga selepas selesai menunaikan solat Subuh,” katanya kepada pemberita bertempat di Kediamannya pada hari ini.
Menurutnya, beliau terkejut sebaik menjenguk ke bahagian belakang rumah apabila mendapati dahan besar pokok durian telah menghempap bumbung dan struktur dapur rumahnya sehingga mengalami kerosakan.

Suaminya, Kassim Abd Rahman, 76, berkata mereka telah lama menetap di rumah tersebut dan bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.
“Selepas kejadian, saya terus meminta bantuan jiran-jiran dan menghubungi pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk memaklumkan kejadian.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan agensi berkaitan yang bertindak pantas membantu proses baik pulih rumah mereka.
“Saya bersyukur kerana kerja-kerja baik pulih dapat dilakukan dengan cepat, sekali gus meringankan beban kami,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Pondok Pasir, Zawawi Mohamed berkata kerja-kerja baik pulih rumah pasangan warga emas tersebut dijangka siap sepenuhnya hari ini.
“Alhamdulillah, peruntukan telah disalurkan melalui Pejabat DUN Kijal bagi membolehkan kerja pembaikan dilakukan dengan segera.
“Langkah pencegahan turut diambil dengan menebang beberapa pokok yang berisiko dan boleh mengancam keselamatan kediaman mereka.
“Diharapkan keluarga ini dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dan selesa selepas kejadian ini,” ujarnya.