Oleh: Asyraf bin Salleh (Pegawai Penyelidik TSIS)
Pendahuluan
Selama ini, laut hanya dilihat dari aspek perikanan, perdagangan dan pelancongan. Namun, ruang ekonominya sebenarnya jauh lebih luas. Dari sinilah munculnya konsep ekonomi biru, suatu pendekatan yang melihat laut dan sumber marin sebagai sebahagian daripada sumber pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat, dengan kelestarian ekosistem sebagai asasnya.
Selari dengan SDG14 (Life Below Water), ekonomi biru semakin mendapat perhatian di peringkat global dan nilainya dianggarkan mencecah US$2.3 trilion pada tahun 2025.
Persoalannya, bagaimana potensi besar ini boleh dimanfaatkan tanpa menjejaskan kekayaan laut yang sepatutnya diwariskan kepada generasi akan datang?
Bagi Malaysia, persoalan ini sangat relevan. Sebagai sebuah negara maritim, Kerajaan Persekutuan melihat Malaysia mempunyai potensi untuk mempelbagai ekonomi melalui penggunaan sumber marin, pesisir pantai dan air tawar secara lestari.
Justeru, perkembangan ekonomi biru dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) wajar diberi perhatian, sementelahan Terengganu, Kelantan, Perak dan Sabah disenaraikan sebagai negeri yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab ekonomi biru bagi menarik pelaburan dalam industri strategik yang berkaitan dengannya.
Malaysia Sebagai Sebuah Negara Maritim
Ekonomi biru dalam RMK-13 tidak hanya merujuk kepada perikanan semata-mata. Kerajaan melihatnya sebagai satu ekosistem ekonomi yang lebih luas, meliputi industri perkapalan dan pembaikan kapal, logistik maritim, perikanan dan akuakultur, pelancongan pantai dan maritim serta tenaga boleh baharu biru.
Matlamatnya ialah menggunakan sumber semula jadi secara lestari untuk membuka pasaran dan pelaburan baharu yang bernilai tinggi, menjana pendapatan serta meningkatkan kualiti hidup tanpa mengorbankan biodiversiti dan ekosistem untuk generasi akan datang.
Tiga pendekatan utama telah digariskan di dalam RMK-13, iaitu memperkukuh ekosistem ekonomi biru melalui penambahbaikan dasar perundangan dan tadbir urus; mempertingkatkan pertumbuhan industri strategik melalui pemerkasaan industri shipbuilding and ship repair (SBSR) serta pembangunan hab perikanan bersepadu dan; memelihara khazanah dan biodiversiti melalui penguatkuasaan terhadap perikanan haram dan berlebihan.
Kedudukan Semasa (RMK-12) dan Sasaran (RMK-13) Ekonomi Biru
Dalam tempoh RMK-12, aktiviti berkaitan ekonomi biru telah rancak digerakkan. Buktinya, kendalian kontena di pelabuhan negara meningkat daripada 25.973 juta unit kontena berukuran 20 kaki (TEU) pada 2020 kepada 29.863 juta TEU pada 2024. Dalam tempoh yang sama, industri pelancongan marin menunjukkan pemulihan apabila jumlah pengunjung ke taman laut meningkat daripada 20,000 pada 2021 kepada 586,000 pada 2024.
Nilai ditambah subsektor perikanan pula meningkat daripada RM11.3 bilion pada 2020 kepada RM11.8 bilion pada 2024, manakala sehingga 2024, 5.4 peratus kawasan marin negara telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin.
RMK-13 pula disasarkan untuk membawa sektor ini ke tahap yang lebih tinggi. Antaranya ialah dengan meningkatkan nilai industri perkhidmatan pembekalan bahan api kapal daripada RM14.5 bilion pada 2024 kepada RM19.4 bilion menjelang 2030, membangunkan akaun satelit khusus ekonomi biru, meningkatkan bilangan vesel penangkapan ikan moden daripada 8 kepada 45, serta membina limbungan vesel nelayan daripada 8 kepada 10 lokasi.
Ini menunjukkan bahawa hala tuju ekonomi biru di Malaysia semakin berkembang daripada pertambahan bilangan aktiviti kepada pembinaan kapasiti industri dan rantaian nilai yang lebih tersusun.
Di Mana Kedudukan Terengganu?
Di sinilah peluang Terengganu menjadi lebih menarik. Negeri ini sudah mempunyai sebahagian daripada asas yang diperlukan untuk menyertai ekonomi biru, khususnya melalui perikanan, akuakultur dan pelancongan marin. Data Banci Pertanian 2024 menunjukkan bahawa sektor perikanan dan akuakultur mempunyai sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negeri.
Namun, cabarannya ialah bagaimana aktiviti tersebut boleh bergerak daripada kegiatan ekonomi yang berasingan kepada rantaian nilai ekonomi biru yang lebih lengkap.
Sebagai contoh, perikanan tidak sepatutnya dilihat hanya dari sudut jumlah ikan yang didaratkan. Nilainya boleh dilihat bersama aktiviti pemprosesan, penyimpanan sejuk, logistik, pembinaan dan penyelenggaraan vesel serta akses kepada pasaran.
Begitu juga pelancongan pulau. Nilainya bukan hanya jumlah pelancong yang datang semata-mata. Apa yang lebih penting, bagaimana ekosistem pelancongan marin dapat menjana pendapatan secara berterusan dan dalam masa sama memastikan sumber alam yang menjadi tarikan utama itu kekal terpelihara.
Pendekatan sebegini selari dengan hala tuju RMK-13 yang menyasarkan pembangunan Terengganu sebagai hab perikanan bersepadu, memperkukuh rantaian nilai, menggunakan teknologi termaju serta menarik pelaburan dalam industri strategik ekonomi biru.
Pelancongan Marin: Potensi Laut Bukan Sekadar Pantai
Bagi Terengganu, pelancongan marin merupakan antara aset ekonomi yang paling menyerlah. Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol sudah lama menjadi tarikan utama negeri. Malah, pada 2025, empat pulau ini menerima 351,103 pengunjung, iaitu 64 peratus daripada keseluruhan 548,598 pengunjung ke 56 pulau yang digazetkan sebagai Taman Laut Malaysia. Keindahan terumbu karang, pantai dan ekosistem marin menjadi antara sebab utama tarikan tersebut.
Angka ini menunjukkan satu perkara yang penting dalam konteks ekonomi biru, iaitu alam sekitar yang terpelihara mempunyai nilai ekonomi yang amat penting. Terumbu karang dan ekosistem marin yang sihat bukan hanya penting untuk biodiversiti, bahkan turut menjadi asas kepada industri pelancongan dan sumber pendapatan masyarakat setempat.
Oleh sebab itu, apabila membincangkan masa depan pelancongan marin Terengganu, ukuran tidak seharusnya berhenti pada jumlah pelancong semata-mata.
Nilai ekonomi yang terhasil perlu berjalan seiring dengan keupayaan menjaga aset yang sebenarnya menjadi faktor penarik kedatangan pelancong.
Karbon Biru: Menjaga Alam, Membina Ekonomi
Dalam membangunkan ekonomi biru di Malaysia, RMK-13 juga memberi perhatian kepada perkembangan sektor karbon biru melalui pembangunan dasar dan garis panduan, pemetaan kawasan yang mempunyai potensi penyerapan Karbon Dioksida (CO₂) yang tinggi serta penerokaan mekanisme kredit karbon biru.
Bagi Terengganu, pendekatan ini boleh dilihat dalam konteks yang lebih luas melalui usaha memelihara kawasan-kawasan yang mempunyai nilai biodiversiti tinggi. Tasik Kenyir, misalnya, dikelilingi kawasan hutan hujan tropika dan Hutan Simpan Kekal manakala kawasan Kenyir turut mempunyai kawasan pemuliharaan yang diwujudkan bagi melindungi biodiversiti. Setiu Wetlands pula mempunyai keluasan lebih 23,000 hektar dan merangkumi 10 ekosistem yang saling berkait termasuk sungai, tasik, lagun, pantai, laut, hutan pesisir dan bakau.
Kesemua kawasan ini menunjukkan bahawa aset alam yang dipelihara mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar nilai tanah atau hasil yang boleh dikeluarkan daripadanya. Ia menyokong biodiversiti, pelancongan, sumber air dan fungsi ekologi yang penting.
Dalam konteks ekonomi biru, cabarannya ialah bagaimana nilai tersebut dapat diukur dan pada masa yang sama, membuka ruang kepada sumber ekonomi baharu seperti kredit karbon biru tanpa mengorbankan fungsi asal ekosistem.
Terengganu Sebagai Hab Ekonomi Biru
RMK-13 memposisikan Terengganu sebagai salah satu negeri berpotensi untuk pembangunan hab ekonomi biru, bersama Kelantan, Perak dan Sabah, yang bertujuan menarik pelaburan dalam industri strategik ekonomi biru. Kerajaan juga menyasarkan agar pengalaman dan kepakaran tempatan dapat dimanfaatkan serta membuka lebih banyak peluang kepada belia untuk menceburi aktiviti ekonomi biru yang menawarkan
pendapatan yang tinggi. Ini memberikan Terengganu satu ruang yang jelas dalam agenda ekonomi nasional. Namun begitu, untuk menjadi sebuah hab, kelebihan semula jadi sahaja tidak mencukupi. Apa yang diperlukan ialah sebuah ekosistem, daripada industri, infrastruktur dan teknologi sehinggalah kepada bakat, pembiayaan dan tadbir urus yang cekap.
Dalam konteks ini, beberapa perkara boleh diberikan perhatian, antaranya pembinaan hab pemprosesan dan rantaian sejuk makanan laut; penilaian asas karbon biru; pembangunan pelancongan marin yang lebih lestari serta; usaha menarik pelaburan ke dalam industri strategik yang telah dikenal pasti di dalam RMK-13. Hal ini penting agar potensi dan perkembangan ekonomi biru yang telah dikenal pasti di Terengganu dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan bersama.
Penutup
Ekonomi biru adalah tentang bagaimana laut, pesisir pantai dan ekosistem air dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang lebih tinggi tanpa memusnahkan sumber yang menjadi asas kepada nilai tersebut. Terengganu sudah mempunyai sebahagian daripada asetnya.
RMK-13 pula telah membuka jalan dengan menyenaraikan Terengganu sebagai salah satu negeri yang berpotensi membangunkan hab ekonomi biru. Cabaran pada ketika ini adalah memastikan peluang tersebut diterjemahkan kepada projek, pelaburan, pekerjaan dan pendapatan yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Terengganu.