Jalur Gemilang
Berita :
Jangan Tunggu Air Naik Baru Bertindak, JPS Ingatkan Penduduk Terengganu
Jangan Tunggu Air Naik Baru Bertindak, JPS Ingatkan Penduduk Terengganu
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
67

KUALA TERENGGANU, 9 November – Penduduk di kawasan berisiko banjir di Terengganu diingatkan supaya tidak menunggu sehingga air mula naik sebelum mengambil langkah menyelamatkan diri dan keluarga sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah berkata, tindakan awal amat penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, khususnya kehilangan nyawa akibat banjir.

Menurutnya, penduduk perlu sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan amaran banjir yang dikeluarkan melalui saluran rasmi termasuk Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), JPS serta agensi keselamatan.

"Apabila amaran banjir dikeluarkan, orang ramai hendaklah mengambil tindakan segera, memindahkan dokumen penting dan barangan berharga ke tempat yang selamat serta mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak meredah kawasan banjir atau melalui jalan yang telah dinaiki air," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Osman berkata, JPS Terengganu turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan sistem pemantauan dan amaran awal banjir bagi memastikan maklumat dapat disalurkan dengan berkesan kepada pihak berkaitan.

Katanya, aset dan jentera jabatan juga perlu berada dalam keadaan siap siaga bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku banjir.

Pada masa sama, beliau berharap projek tebatan banjir dan kerja penyelenggaraan infrastruktur saliran terus diperkasakan bagi mengurangkan kesan banjir, terutama di kawasan yang sering terjejas.

Bagaimanapun, Osman menegaskan bahawa usaha menghadapi banjir tidak boleh bergantung kepada JPS semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat.

Menurutnya, persediaan menghadapi MTL perlu dilaksanakan secara terancang dan terselaras supaya setiap tindakan benar-benar dapat mengurangkan risiko kepada penduduk.

Jelas beliau, kejayaan pengurusan banjir bukan hanya diukur melalui keberkesanan infrastruktur, tetapi juga sejauh mana usaha tersebut mampu melindungi nyawa, harta benda dan kesejahteraan rakyat.

"Keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan JPS Terengganu," katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan