Jalur Gemilang
Berita :
Peruntukan Ahli Parlimen Tidak Wajar Jadi Alat Rundingan Politik
Peruntukan Ahli Parlimen Tidak Wajar Jadi Alat Rundingan Politik
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
116

KUALA TERENGGANU, 9 November – Pengagihan peruntukan pembangunan kawasan Parlimen tidak sepatutnya bergantung kepada rundingan atau kesepakatan politik, sebaliknya perlu dijamin melalui undang-undang bagi memastikan semua Ahli Parlimen mendapat layanan yang adil.

Penyelidik Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Muhammad Abdul Hadi Mohd Radzi berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan Parlimen (CDF) bagi menamatkan kebergantungan kepada budi bicara kerajaan dalam menentukan agihan peruntukan.

Menurutnya, pendekatan sedia ada yang bergantung kepada Memorandum Persefahaman (MoU) atau Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) tidak mampu menjamin pengagihan peruntukan secara konsisten, selain membuka ruang kepada pengaruh kepentingan politik.

Katanya, rakyat tidak seharusnya menerima layanan berbeza hanya kerana wakil rakyat yang mereka pilih berada di blok kerajaan atau pembangkang.

Isu itu kembali menjadi perhatian dalam perbahasan Belanjawan 2027 apabila beberapa Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok menggesa supaya peruntukan pembangunan kawasan diagihkan secara sama rata.

Antara yang membangkitkan perkara itu ialah Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.

Muhammad Abdul Hadi berkata, peruntukan CDF mempunyai fungsi tersendiri dalam membantu Ahli Parlimen menangani keperluan kecil tetapi mendesak di kawasan masing-masing, termasuk bantuan persekolahan, sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pembaikan kecil infrastruktur.

"Projek pembangunan kerajaan dilaksanakan menerusi perancangan kementerian dan agensi manakala CDF berperanan melengkapkan usaha tersebut dengan menangani keperluan masyarakat di peringkat kawasan.

"Ahli Parlimen lebih dekat dengan rakyat dan sering menjadi tempat penduduk mengadu mengenai pelbagai keperluan yang memerlukan tindakan segera tanpa melalui proses birokrasi yang panjang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran wakil rakyat terpaksa melalui rundingan politik semata-mata untuk mendapatkan peruntukan bagi menjalankan tanggungjawab selepas menerima mandat daripada pengundi.

Malah, katanya, isu agihan peruntukan bukan hanya melibatkan pembangkang apabila terdapat dakwaan peruntukan Ahli Parlimen kerajaan turut disekat susulan perselisihan dalaman.

Keadaan itu, menurutnya, menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kepentingan parti dapat dipisahkan daripada tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat.

Justeru, beliau berpandangan penggubalan Akta CDF mampu mewujudkan kerangka perundangan yang jelas, sekali gus memastikan komitmen pengagihan peruntukan secara adil tidak berubah mengikut pertimbangan politik semasa.

Bagaimanapun, Muhammad Abdul Hadi menegaskan bahawa pengagihan secara sama rata perlu disertai mekanisme kawalan dan tadbir urus yang ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan dana.

Katanya, Commonwealth Parliamentary Association (CPA) turut menggariskan beberapa elemen penting dalam tadbir urus CDF, termasuk keupayaan respons, ketelusan, pengurusan, kebertanggungjawaban, pengawasan serta pemantauan dan penilaian.

"Penggubalan akta yang mengambil kira aspek berkenaan penting bagi memastikan peruntukan diurus secara berintegriti dan tidak menjadi dana yang boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh Ahli Parlimen.

"Langkah itu bukan sahaja dapat memperkukuh fungsi semak dan imbang Parlimen, malah memastikan kebajikan rakyat di setiap kawasan dapat disampaikan dengan lebih cekap tanpa dipengaruhi kepentingan politik," katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan