lightning-solid
Berita :
Jeti Pendaratan Nelayan Kg Beris Tok Ku Siap, Sedia Diguna
Jeti Pendaratan Nelayan Kg Beris Tok Ku Siap, Sedia Diguna
Hidayah Azlin
13 jam yang lepas
63

SETIU, 26 Ogos – Jeti Pendaratan Nelayan Kampung Beris Tok Ku di sini secara asasnya telah siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan oleh komuniti nelayan tempatan bagi menjalankan aktiviti harian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, prasarana baharu itu bakal memberi kemudahan yang lebih selesa serta selamat kepada para nelayan di kawasan berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, beberapa kerja penambahbaikan tambahan telah dikenal pasti bagi memastikan jeti berkenaan beroperasi pada tahap optimum.

"Hasil tinjauan yang dijalankan bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu baru-baru ini, kita telah bersepakat bahawa ada beberapa penambahbaikan lagi yang perlu dibuat demi keselesaan nelayan kita.

"Antaranya termasuklah pemasangan rubber fender (pemampal getah) serta pembinaan tangga bagi memudahkan urusan pendaratan hasil laut," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Azman memberi jaminan bahawa kesemua kerja penambahbaikan berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

"Insya-Allah, semua penambahbaikan ini akan diselesaikan segera sebelum berakhir tahun ini," jelas beliau lagi.

Kemudahan jeti pendaratan berkenaan dijangka dapat melancarkan lagi urusan harian para nelayan serta memelihara keselamatan bot-bot tempatan sewaktu mendaratkan hasil tangkapan di Kampung Beris Tok Ku.


Tag :

Artikel Berkaitan