Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Terengganu Bantu Biayai Majlis Kahwin 193 Pasangan
Kerajaan Terengganu Bantu Biayai Majlis Kahwin 193 Pasangan
Noraini Jusoh
7 jam yang lepas
187

KUALA NERUS, 7 November – Seramai 193 pasangan pengantin menerima bantuan pembiayaan majlis perkahwinan menerusi Program Walimatulurus Perdana Terengganu 2026 sebagai usaha kerajaan negeri meringankan beban kewangan pasangan muda yang ingin mendirikan rumah tangga.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran program menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu bukan sahaja membantu pasangan memulakan kehidupan berumah tangga, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, berdasarkan rekod Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM), sebanyak 7,736 pasangan telah mendirikan rumah tangga di Terengganu sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri terus komited memperkukuh institusi kekeluargaan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan YPKT, termasuk penyediaan insentif, kursus dan program kekeluargaan.

“Komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi kekeluargaan turut diteruskan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan pelbagai insentif, kursus dan program kekeluargaan bagi mempersiapkan pasangan menghadapi tanggungjawab sebagai suami isteri dan ibu bapa,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah yang mewakilinya merasmikan Majlis Perasmian dan Resepsi Walimatulurus Perdana Tahun 2026 Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak, Pusat Pentadbiran Kuala Nerus, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 59 pasangan dari Kuala Nerus dan Kuala Terengganu melangsungkan pernikahan menerusi program tersebut.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim serta Pengarah YPKT, Wan Muhd Masyhum Wan Harujan.

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut mengingatkan pasangan pengantin supaya mengamalkan tiga prinsip utama dalam membina rumah tangga yang harmoni dan berkekalan.

Beliau berkata, pasangan suami isteri perlu saling menghormati serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing, mengutamakan komunikasi dan perbincangan ketika berdepan masalah, selain mengamalkan sikap sabar dan saling memaafkan.

Katanya, al-Quran dan Sunnah juga perlu dijadikan panduan dalam kehidupan berkeluarga, manakala Rasulullah SAW menjadi teladan dalam membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.

Beliau turut berharap agar ikatan perkahwinan yang dibina setiap pasangan sentiasa mendapat keberkatan Allah SWT, dikurniakan kebahagiaan serta zuriat yang soleh dan solehah.

Menurutnya, pembentukan institusi keluarga yang kukuh menjadi asas penting dalam melahirkan masyarakat harmoni dan negeri yang sejahtera.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan