Jalur Gemilang
Berita :
Walimatulurus Perdana Kemaman Raikan 24 Pasangan Pengantin
Walimatulurus Perdana Kemaman Raikan 24 Pasangan Pengantin
Ezani Razali
6 jam yang lepas
135

KEMAMAN, 7 November – Program Walimatulurus Perdana Tahun 2026 bagi Parlimen Kemaman yang berlangsung di Kemaman Arena Square, hari ini, meraikan seramai 24 pasangan pengantin dalam suasana penuh meriah dan bermakna.

Antara pasangan yang diraikan ialah Mohd Khairol Nizam bin Ramli, 27, seorang jurujual dari Kampung Gong Pauh, bersama isterinya, Nur Aina Nazirah Mohd Kamarul Hashim, 17, dari Bukit Kuang.

Bagi Khairol Nizam, penyertaan dalam program berkenaan merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna apabila beliau dan isteri dapat meraikan hari bahagia mereka bersama pasangan lain serta keluarga masing-masing dalam suasana penuh kemesraan.

Beliau memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kelancaran majlis pernikahan mereka, selain merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu serta semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Menurutnya, program seumpama itu amat membantu pasangan yang kurang berkemampuan dalam mendirikan rumah tangga, khususnya ketika masyarakat berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Program ini sangat baik dan banyak membantu pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang supaya lebih ramai pasangan berpeluang merasai manfaatnya.

“Suasana yang berlangsung juga sangat meriah. Saya melihat ahli keluarga begitu seronok dapat berkumpul di sini untuk meraikan pasangan pengantin,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato’ Hanafiah Mat berkata, Program Walimatulurus Perdana merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya pasangan muda yang memulakan kehidupan berkeluarga.

Katanya, menyedari kepentingan institusi keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat yang sejahtera, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menganjurkan program perkahwinan perdana secara serentak di seluruh negeri pada hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah turut membantu meringankan beban kewangan pasangan pengantin dan keluarga dalam meraikan detik istimewa tersebut.

“Program ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap keperluan rakyat. Kita mahu pasangan yang mendirikan rumah tangga dapat memulakan kehidupan baharu dengan penuh kegembiraan, dalam suasana yang baik dan penuh keberkatan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menyampaikan ucapan tahniah dan selamat pengantin baru kepada semua pasangan yang diraikan, sambil mendoakan agar setiap perkahwinan yang dibina dikurniakan kebahagiaan, ketenangan serta keberkatan berpanjangan.

“Semoga perkahwinan ini bukan sahaja membawa kebahagiaan di dunia, malah menjadi jambatan menuju Jannah.

“Saya berdoa agar setiap pasangan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah, yang akan menjadi pewaris serta penyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negeri ke arah Baldatun Toyyibatan Wa Rabbun Ghafur, iaitu negeri yang baik, aman dan makmur di bawah rahmat Allah SWT,” katanya.

Program Walimatulurus Perdana itu sekali lagi memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh institusi keluarga, di samping memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan