KUALA TERENGGANU, 16 Januari – Kursus Kepimpinan Wanita dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh akses maklumat berkaitan geran, bantuan dan insentif kerajaan di samping memperkasa peranan wanita sebagai penggerak utama komuniti di peringkat akar umbi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, Kursus Kepimpinan Wanita yang dianjurkan menjadi platform strategik untuk memastikan wanita penggerak komuniti memperoleh maklumat tepat bagi merancang dan melaksanakan program kemasyarakatan secara lebih berkesan dan berimpak.
Menurutnya, wanita merupakan tunjang kekuatan masyarakat khususnya di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Rukun Tetangga, justeru kepimpinan wanita yang berpengetahuan mampu menggerakkan aktiviti komuniti secara lebih tersusun.
“Penglibatan aktif wanita dalam Rukun Tetangga bukan sahaja mengukuhkan jaringan sosial, malah menjadikan mereka ejen penyampai maklumat, pemudah cara dan pemangkin keharmonian komuniti,” jelasnya.

Maliaman turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan mengucapkan tahniah kepada para peserta yang terdiri daripada kakitangan i-MiTS Wanita dan Beliawanis, pertubuhan serta 75 NGO wanita di Terengganu yang hadir sebagai barisan wanita penggerak komuniti.
Dalam pada itu, beliau berharap kursus berkenaan dapat melahirkan lebih ramai wanita berdaya saing, berani memimpin serta celik peluang.
Selain itu, beliau menyeru kepada semua peserta agar ilmu dan maklumat yang diperoleh dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) Tuan Roslina binti Tuan Sulaiman berkata, kursus tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman peserta terhadap dasar dan program pembangunan wanita negeri, termasuk usaha memperkukuh perpaduan sosial dalam masyarakat.
Menurutnya, penganjuran kursus itu juga memberi penekanan kepada pemerkasaan kemahiran kepimpinan wanita di peringkat akar umbi agar mereka mampu berperanan lebih berkesan sebagai pemimpin komuniti.
“Selain itu, kursus ini menjadi medium penting untuk mengukuhkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan pemimpin wanita, sekali gus memastikan pelaksanaan program berkaitan wanita dapat diselaras dengan lebih efektif,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap Kursus Kepimpinan Wanita Terengganu yang dianjurkan dapat mencapai objektif disasarkan serta memberi manfaat berpanjangan kepada peserta dalam memperkasa peranan wanita sebagai peneraju pembangunan masyarakat.