Jalur Gemilang
Berita :
Lima Pendaratan Penyu Belimbing Direkodkan, Dua Sarang Tidak Tersenyawa
Lima Pendaratan Penyu Belimbing Direkodkan, Dua Sarang Tidak Tersenyawa
Mastura Jamal Din
9 jam yang lepas
107

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Kemunculan semula penyu belimbing di pantai Terengganu selepas sembilan tahun memberi harapan terhadap kelangsungan spesies marin terancam itu, namun pemeriksaan awal mendapati telur daripada dua sarang pertama yang direkodkan pada musim ini tidak tersenyawa.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan dapatan itu selepas pemeriksaan teknikal terhadap Sarang 1 dan Sarang 2 penyu belimbing (Dermochelys coriacea) di Pusat Penetasan TCIC Rantau Abang, Terengganu.

Pemeriksaan yang dijalankan pada 3 dan 16 Oktober lalu mendapati telur yang diperiksa tidak menunjukkan bukti perkembangan embrio, sekali gus diklasifikasikan sebagai tidak tersenyawa.

Ketua Pengarah Perikanan, Dato' Adnan Hussain berkata, pendaratan semula penyu belimbing di pantai Terengganu merupakan perkembangan penting yang membuka peluang kepada penyelidik mengumpulkan data saintifik berkaitan pembiakan dan keadaan populasi spesies berkenaan.

“Walaupun pemeriksaan Sarang 1 dan 2 menunjukkan telur yang diperiksa tidak tersenyawa, maklumat ini penting dalam usaha memahami perkembangan pembiakan penyu belimbing.

“Pemantauan berterusan dan pengumpulan data saintifik perlu dilaksanakan bagi membantu menilai keadaan populasi spesies ini,” katanya.

Menurut DOF, sehingga 16 Oktober lalu, sebanyak lima pendaratan persarangan penyu belimbing direkodkan di Terengganu, menandakan kemunculan semula spesies itu selepas pendaratan terakhir yang direkodkan pada 2017.

Pemeriksaan kedua-dua sarang dilakukan pada hari ke-30 tempoh pengeraman, masing-masing mengandungi 44 dan 81 biji telur.

Pemeriksaan menggunakan kaedah penggalian separa tanpa pemusnahan itu melibatkan lima sampel telur yang dipilih secara rawak daripada setiap sarang.

Hasil pemeriksaan mendapati sampel telur mempunyai diameter purata 49.80 milimeter, menunjukkan telur berkenaan merupakan telur normal dan bukannya telur kerdil tanpa kuning telur.

Bagaimanapun, pemerhatian pada permukaan cangkerang tidak menemukan tompok putih yang lazim dikaitkan dengan perkembangan awal embrio.

Ujian suluhan cahaya turut tidak menunjukkan pembentukan rangkaian saluran darah atau bayangan struktur embrio, manakala perubahan warna telur kepada kehitaman dan kekuningan serta kehadiran mikroorganisma dan belatung menunjukkan berlakunya proses pereputan.

Dapatan itu menyokong kesimpulan teknikal bahawa telur yang diperiksa tidak tersenyawa.

Adnan berkata, pemeriksaan dan pemantauan terhadap kelima-lima sarang perlu dilaksanakan secara teratur bagi mendapatkan maklumat mengenai perkembangan embrio, tahap kesuburan telur dan kejayaan penetasan.

Pengurusan pusat penetasan juga disaran memberikan perhatian terhadap aspek kebersihan serta pemantauan suhu dan kelembapan pasir bagi mengurangkan risiko pencemaran dan penyebaran mikroorganisma kepada sarang lain yang masih aktif.

DOF menerusi Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang akan meneruskan pemantauan serta pemeriksaan teknikal terhadap sarang penyu belimbing bagi menyokong usaha penyelidikan dan pemuliharaan spesies marin terancam itu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan