lightning-solid
Berita :
Logo Baru, Pelan Strategik Julang Semangat Kenyir Rangers
Logo Baru, Pelan Strategik Julang Semangat Kenyir Rangers
Mohd Irsyadi Abu Bakar
10 jam yang lepas
163

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Pelancaran logo rasmi Kenyir Rangers dan Pelan Strategik Kenyir Rangers 2026-2030 menjadi langkah penting dalam memperkukuh hala tuju pembangunan pasukan tersebut menerusi perancangan lebih sistematik, bersepadu dan mampan.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang turut menjalankan tugas sebagai Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) Terengganu, Dato' Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, antara yang diperkemaskan adalah rondaan berkala bagi mengatasi pencerobohan haram dan pengambilan hasil hutan dan hidupan liar di kawasan perlindungan Tasik Kenyir.

"Kenyir Rangers ini telah dimasyhurkan sejak tahun 1997 dahulu dengan penglibatan sekitar 10 agensi.

"Kini diberi nafas baru sejak tahun 2025 dengan menampilkan sekurang-kurangnya 16 agensi yang mempunyai kuasa untuk dilaksanakan di tasik ini," katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Renjer Sedunia Tahun 2026 peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, setiap jabatan terlibat ada tugas dan tanggungjawab tersendiri dan beroperasi dalam ruang lingkup masing-masing dan usaha itu dipertingkatkan dari tahun ke tahun.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu dihadiri 511 renjer yang berkhidmat dalam negeri Terengganu.

Hari Renjer Sedunia dengan tema 'Rangers: Guardians of Changing Planet' diadakan bagi menghargai peranan anggota penguatkuasaan, renjer dan petugas konservasi yang menjadi benteng hadapan dalam usaha manusia melindungi khazanah alam negeri.

Setakat ini, MPTN memiliki 330 pembantu penguatkuasa dan dibantu 181 renjer komuniti dari pelbagai agensi untuk memastikan kelestarian kawasan perlindungan di Negeri Terengganu.

Dalam pada itu, Kenyir Rangers turut mendapat sokongan NGO Panthera Malaysia menerusi sumbangan sebanyak RM246,702.70 yang disampaikan dalam majlis itu.


Tag :

Artikel Berkaitan